Orang ramai bergambar kunjung ke Bangunan Sultan Abdul Samad bersama keluarga pada 1 Syawal.

KUALA LUMPUR  – Tatkala lebuh raya utama dan jalan kampung sesak dengan kenderaan – warga kota yang menyambut Aidilfitri memilih untuk bersiar-siar – sekitar Kuala Lumpur pada 1 Syawal hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, suasana di ibu negara mula sibuk terutama di Dataran Merdeka iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi tumpuan warga tempatan dan perantau mengambil peluang bergambar bersama keluarga.

Bukan itu sahaja, pelbagai bangsa termasuk pelancong turut berkunjung ke lokasi bersejarah itu bagi menikmati keindahan seni bina yang unik serta nilai sejarah di sebalik pembinaanya.   

Muhammad Noor Fairuss Baharuddin.

Menurut Muhammad Noor Fairuss Baharuddin, 41, dia bersama ahli keluarga dan adik beradiknya yang datang dari Rawang memilih lokasi itu kerana bangunan bersejarah itu baharu sahaja dibuka kepada umum.

“Kami memilih raya pertama untuk bergambar di bangunan ini sebab ia baru sahaja dibuka kepada umum dan pembinaannya juga sangat cantik untuk diabadikan bersama keluarga.

“Selepas bergambar, baru kami semua balik ke Triang, Pahang pada hari raya pertama sebab tidak mahu bersesak dalam lebuh raya seperti hari sebelumnya,” katanya.

Aji Bosman Salim

Bagi Aji Bosman Salim, 75, sebagai anak jati Kuala Lumpur berkata, dia membawa keluarga ke bangunan itu bagi memberi pendedahan tentang sejarah ibu negara kepada anak dan cucunya.

“Sebelum ini, kami pergi ke lokasi lain di Kuala Lumpur untuk bergambar bersama keluarga tapi bila melihat bangunan bersejarah ini saya rasa ini masa sesuai untuk kami seisi keluarga.

“Saya sebagai atuk kepada 17 cucu ini dan seorang cicit, bawa mereka ke sini dapat memberi pendedahan dan menikmati bahawa KL ini ada tempat bersejarah yang boleh dilawati,” ujarnya.

Angle Ng Ber Kian

Bagi Angle Ng Ber Kian, 48, berasal dari Kepong, walaupun berlainan bangsa namun dia bersama rakannya tetap memilih memakai baju tradisional kebaya nyoya untuk meraikan cuti Aidiltri di ibu kota.

“Kami memilih pakaian tradisional ini kerana ini merupakan hari raya untuk umat islam, jadi kita mahu turut sama sambut perayaan ini terutama di Dataran Merdeka.

“Ditambah tempat ini pun viral dan hari ini ramai orang Islam bergambar, jadi kami pun mahu turut sama meraikan Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali,” jelasnya.

Muhammad Musa’ad M.Si

Sementara itu, warga Indonesia, Muhammad Musa’ad M.Si bersama keluarga memilih meraikan 1 Syawal di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini kerana ia adalah ikonik warisan Kuala Lumpur.

“Kami melihat sambutan di sini nyaman, tenang dan semua umat Islam hadir memenuhi masjid di ibu negara pada pagi raya, ia menandakan bahawa keagamaan di sini amat baik sekali dan kami dilayan baik walaupun kami ini dari negara jiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast