ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam nahas dipercayai berpunca daripada cubaan sebuah Perodua Myvi mengelak anjing melintas jalan di Jalan Garing, Machap Baru di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, Myvi berkenaan dinaiki enam individu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam parit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, kesemua mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan dari arah Bukit Beruang menghala ke Tebong.
“Siasatan awal mendapati, kenderaan dinaiki lima warga Indonesia serta seorang kanak-kanak tempatan itu dipercayai hilang kawalan akibat cuba mengelak beberapa ekor anjing yang melintas jalan.
“Kereta kemudian terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam parit mengakibatkan penumpang lelaki berusia 43 tahun parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pemandu lelaki berusia 39 tahun mengalami kecederaan di dada dan kaki, manakala seorang penumpang wanita berusia 40 tahun cedera di tangan kanan dan kaki kiri.
“Seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia empat tahun hanya mengalami luka ringan, manakala dua lagi penumpang masing-masing berumur 28 dan 52 tahun turut cedera di muka, rusuk serta badan.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama bagi tujuan bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik BSPTD Alor Gajah, Inspektor Loh Gia Xao atau hadir ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















