KUALA LUMPUR — Keadaan cuaca panas di Semenanjung Malaysia menunjukkan peningkatan apabila satu kawasan direkodkan berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) manakala 10 kawasan lain berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga).
Menurut status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, Padang Terap, Kedah kini berada pada Tahap 2 susulan suhu maksimum harian yang tinggi secara berterusan.
“Terdapat 10 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Perlis, Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Bandar Baharu (Kedah), dan Timur Laut (Pulau Pinang),” demikian menurut MetMalaysia.
MetMalaysia menjelaskan, kategori Tahap Berjaga-Jaga ditakrifkan apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah selsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
“Tahap Berjaga-Jaga: Suhu maksimum harian 35-37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” katanya.
Bagi Tahap Gelombang Haba pula, ia merujuk kepada suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah selsius yang berlaku sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar dan memastikan pengambilan air mencukupi, selain merujuk maklumat terkini melalui laman rasmi MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas — MalaysiaGazette
















