Mahkamah Singapura

KUALA LUMPUR – Pembabitan rakyat Malaysia dalam sindiket penipuan di Singapura terus mencetuskan kebimbangan apabila dua lagi individu ditahan pihak berkuasa republik itu, menjadikan jumlah tangkapan bulan ini meningkat kepada lapan orang.

Polis Singapura memaklumkan, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan ketika cuba meninggalkan negara berkenaan, manakala seorang lagi berusia 20 tahun diberkas berhampiran Woodlands dalam operasi berasingan.

Media republik itu melaporkan, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ yang mengutip wang tunai serta barangan berharga daripada mangsa sebelum diserahkan kepada rangkaian sindiket.

Mereka dipercayai direkrut oleh individu tidak dikenali yang mempunyai kaitan dengan kumpulan penipuan rentas sempadan.

Difahamkan suspek berusia 30 tahun dijadualkan didakwa di mahkamah hari ini, manakala seorang lagi akan didakwa esok atas kesalahan membantu menyimpan hasil aktiviti jenayah.

Untuk makluman, jika sabit kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum S$500,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes berkenaan turut dikaitkan dengan laporan seorang wanita berusia 62 tahun pada 20 Mac lalu yang menjadi mangsa penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pihak berkuasa kewangan dan syarikat telekomunikasi.

Mangsa pada mulanya dimaklumkan mengenai transaksi mencurigakan sebelum dipujuk dia kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum diarahkan mengisytiharkan aset dimiliki termasuk emas.

Wanita itu kemudian diminta menyerahkan barangan berharga tersebut untuk tujuan ‘pemeriksaan’ dan akhirnya menyerahkan beg berisi emas kepada seorang lelaki yang menggunakan kata laluan seperti diarahkan.

Namun, mangsa mula curiga selepas mendapatkan pengesahan di lokasi berkenaan sebelum dimaklumkan individu itu bukan pegawai sah, lalu segera membuat laporan polis.

Polis Singapura turut mengesan peningkatan kemasukan rakyat Malaysia ke republik itu bagi membantu sindiket menjalankan peranan sebagai ‘runner’, menunjukkan kegiatan penipuan rentas sempadan itu semakin terancang dan agresif.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya kepada panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai kerajaan serta tidak menyerahkan wang atau barangan berharga tanpa pengesahan rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast