NIBONG TEBAL – Armada Bersatu Bahagian Nibong Tebal mendesak pihak berkuasa tampil memberikan penjelasan segera susulan insiden kebakaran membabitkan sebuah khemah jualan mercun dan bunga api di Taman Pekaka lewat malam tadi.
Armada Bersatu Bahagian Nibong Tebal dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam selain mencetuskan persoalan berkaitan pematuhan undang-undang serta tahap penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan mahu penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) serta PDRM Pulau Pinang berhubung beberapa perkara.
“Kami ingin mengetahui siapakah pihak yang meluluskan permit bagi operasi jualan mercun dan bunga api di lokasi tersebut. Jika permit telah dikeluarkan, apakah garis panduan yang digunakan termasuk aspek keselamatan lokasi serta larangan di kawasan tumpuan ramai seperti bazar Aidilfitri, stesen minyak dan hab pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya tiada permit dikeluarkan, pihaknya mempersoalkan mengapa tiada tindakan penguatkuasaan diambil lebih awal oleh PDRM dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Selain itu, kami juga mempersoalkan status pengusaha jualan mercun dan bunga api yang dilihat semakin banyak beroperasi ketika ini.
“Adakah kesemua mereka memiliki permit sah, dan jika ya, apakah jenis permit serta syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa.
“Kita juga menuntut penjelasan mengenai tindakan pemantauan serta penguatkuasaan yang telah dan akan diambil terhadap pengusaha yang beroperasi tanpa lesen atau permit sah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, isu keselamatan awam tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi melibatkan bahan mudah terbakar seperti mercun dan bunga api yang berisiko tinggi kepada penduduk setempat.
“Sehubungan itu, kita menggesa PDRM mengeluarkan kenyataan rasmi dengan segera bagi menjelaskan keadaan sebenar serta tindakan yang telah diambil.
“Langkah itu penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain memastikan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang terus terpelihara,” katanya.
Media hari ini melaporkan suasana malam raya pertama Aidilfitri di Taman Pekaka di sini bertukar cemas apabila sebuah gerai menjual pelbagai jenis mercun musnah dalam kebakaran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal digerakkan ke lokasi kejadian.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi tamat sepenuhnya jam 1.25 pagi. – MalaysiaGazette
















