TEHRAN – Tehran telah menyerang tapak nuklear di bandar selatan Israel, Dimona, awal hari ini sebagai tindak balas terhadap serangan zionis itu ke atas kemudahan atom Natanz milik Iran.
Morteza Simiari, sorang pakar hal ehwal antarabangsa Iran membuat kenyataan itu dalam temu bual langsung bersama televisyen IRIB ketika mengulas serangan balas peluru berpandu Iran ke atas bandar tersebut.
Beliau berkata, serangan itu dilakukan kurang daripada 24 jam selepas Israel “secara gila” menyerang kemudahan Natanz di wilayah tengah Isfahan.
Menurut Simiari, strategi baharu Iran yang berteraskan konsep “mata dibalas mata” melibatkan tindak balas setimpal tetapi dengan intensiti lebih tinggi terhadap sebarang tindakan ketenteraan Israel.
Pegawai perubatan Israel melaporkan, lebih 30 orang cedera dalam serangan peluru berpandu Iran ke atas Dimona.
Sementara itu, International Atomic Energy Agency (IAEA) memaklumkan, tiada petunjuk kerosakan pada pusat penyelidikan nuklear Israel di Negev susulan serangan tersebut.
“Maklumat dari negara-negara serantau menunjukkan tiada tahap radiasi luar biasa dikesan,” menurut IAEA dalam kenyataan di media sosial pada Sabtu malam.
Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, memantau rapat situasi itu menegaskan, “pengekangan ketenteraan maksimum perlu dipatuhi, khususnya di sekitar kemudahan nuklear.”
Pada 28 Februari, Israel dan United States melancarkan serangan bersama ke atas Tehran serta beberapa bandar Iran lain, yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, bersama komander kanan tentera dan orang awam.
Iran kemudian membalas dengan melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset Amerika Syarikat di Timur Tengah. – Agensi
















