KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan menyediakan laporan lengkap berhubung pelaksanaan kadar cukai tanah baharu negeri itu yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Beliau berkata, laporan tersebut akan dikemukakan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook susulan mesyuarat melibatkan tiga pihak yang diadakan bagi membincangkan isu berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, berkata, langkah itu penting bagi memberi gambaran jelas mengenai pelaksanaan dasar berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Setiausaha Agung DAP kerana sudi mengaturkan mesyuarat melibatkan tiga pihak bagi membincangkan isu kenaikan kadar cukai tanah di Pulau Pinang.
“Dengan ini, saya akan menyediakan satu laporan untuk diserahkan kepada beliau mengenai pelaksanaan kadar cukai tanah baharu yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menegaskan akan mematuhi arahan parti supaya tidak membicarakan isu berkenaan di media.
“Saya juga akan mematuhi arahan supaya tidak membicarakan isu ini dalam media demi mengelakkan persepsi serta kesan negatif kepada pihak parti, barisan kepimpinan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara keseluruhan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyeru pemilik tanah yang terkesan supaya segera mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk terus menyeru kepada pemilik-pemilik tanah yang terkesan untuk mengemukakan rayuan ke pejabat-pejabat Daerah dan Tanah dalam negeri serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian di Komtar,” tambah beliau.
Terdahulu, Anthony Loke dilaporkan menegur supaya isu kenaikan kadar cukai tanah di Pulau Pinang tidak terus diperdebatkan secara terbuka antara Kon Yeow dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Penasihat DAP, Lim Guan Eng diselesaikan melalui saluran dalaman parti.
Beliau turut menekankan kepentingan disiplin parti dalam menangani perbezaan pandangan, selain mengingatkan agar sebarang isu dasar kerajaan negeri dibincangkan secara tertutup bagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
Guan Eng juga sejurus selepas teguran Loke, beliau tampil akur dengan teguran itu dan berjanji tidak akan membuat apa-apa kenyataan terbuka sehingga isu ini diselesaikan melalui satu pertemuan antara mereka kelak. -MalaysiaGazette
Saya sudah guna semua saluran dalaman sebelum tampil secara umum – Guan Eng
















