Pengundi warga emas, Jetiah Lambus, 84 menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat kekal selepas selesai menunaikan tanggungjawap pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Sekolah Kebangsaan Serusup, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 29 NOVEMBER 2025.

Oleh: Dr. Aainaa Amirah Haron

MALAYSIA ketika ini menyaksikan titik perubahan populasi menuju negara menua menjelang 2030. Trend penurunan dalam kadar kelahiran dan kadar kesuburan jumlah (TFR) memberi isyarat awal bahawa corak populasi negara sedang berubah dan memerlukan perhatian dari sudut perancangan dasar jangka panjang. Walaupun jumlah penduduk Malaysia menunjukkan pertambahan populasi dengan anggaran 34.3 juta orang pada akhir 2025, kadar pertumbuhan didapati semakin perlahan,
iaitu sekitar 0.6 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2024.

Penurunan kadar pertumbuhan ini didorong oleh penurunan kadar kelahiran bayi sebanyak 7.1 peratus pada suku kedua 2025,
mencatatkan rekod kelahiran terendah dengan 93,435 bayi (Jabatan Perangkaan Malaysia). Dalam masa yang sama, berlaku penurunan TFR pada 2024 iaitu 1.6 anak bagi setiap perempuan berbanding penetapan paras penggantian penduduk iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan untuk mengekalkan saiz populasi. Corak kelahiran yang semakin tertumpu dalam kalangan wanita
berusia 30 hingga 39 tahun (49.8 peratus) pula mencerminkan perubahan gaya hidup, keutamaan kerjaya, kestabilan kewangan dan perancangan keluarga yang lebih tersusun.

Selain itu, peningkatan jumlah populasi warga emas berumur 65 tahun ke atas dijangka melepasi ambang 15 peratus
menjelang 2030 yang tidak diimbangi oleh kelahiran kanak-kanak, menandakan peralihan Malaysia ke arah status negara menua. Sekiranya kadar kelahiran terus sederhana atau menurun, Malaysia mungkin berdepan cabaran mengekalkan tenaga kerja aktif yang mencukupi pada masa hadapan.

Tambahan lagi, trend peningkatan individu yang kekal hidup bujang, khususnya dalam kalangan golongan muda, profesional dan warga bandar dilihat sebagai pilihan gaya hidup moden yang dipengaruhi faktor pendidikan, kerjaya, kos sara hidup dan perubahan nilai generasi. Menurut laporan yang dikongsi oleh SeaAsia Stats, 44.68% penduduk Malaysia dikenal pasti sebagai belum berkahwin, bercerai berpisah atau balu. Statistik ini meletakkan Malaysia di tangga ketiga selepas Filipina (49%) dan Brunei (44.9%).

Secara tradisi, sistem penjagaan di Malaysia banyak bergantung kepada institusi keluarga. Anak-anak menjaga ibu bapa yang uzur, pasangan saling menyokong ketika sakit, dan jaringan kekeluargaan berfungsi sebagai sistem perlindungan sosial tidak formal. Struktur ini membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kebajikan dan kesihatan awam. Namun apabila semakin ramai individu hidup bersendirian tanpa pasangan atau anak, kapasiti penjagaan tidak formal semakin
mengecil.

Di sebalik semua trend ini, wujud implikasi ekonomi yang perlu dipandang serius dan dibincangkan secara mendalam iaitu kesannya terhadap ekonomi penjagaan negara. Fenomena ini menimbulkan persoalan penting mengenai masa depan struktur demografi dan keseimbangan sosial di Malaysia. Ekonomi penjagaan merangkumi penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya yang memerlukan sokongan jangka panjang. Dalam konteks penuaan populasi, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan formal seperti pusat jagaan, bantuan sosial dan perkhidmatan sokongan dijangka meningkat dengan ketara.

Persoalan yang timbul ialah sejauh manakah sistem perlindungan sosial mampu menampung lonjakan permintaan tersebut? Lebih kritikal lagi ialah adakah Malaysia bakal berdepan krisis kekurangan penjaga apabila generasi yang lebih kecil perlu menyokong populasi warga emas yang semakin besar? Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada keluarga, tetapi juga kepada pasaran buruh dan produktiviti ekonomi secara keseluruhan.

Dalam senario tertentu, isi rumah berpendapatan rendah mungkin terpaksa mengurangkan penyertaan dalam pasaran buruh untuk menjaga ahli keluarga yang uzur. Dari sudut fiskal pula, peningkatan perbelanjaan kesihatan awam, subsidi penjagaan serta bantuan sosial dijangka memberi tekanan terhadap kedudukan kewangan negara. Berapakah peratus KDNK yang perlu diperuntukan kepada ekonomi penjagaan menjelang 2030?

Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan negara maju, sektor penjagaan berkembang menjadi sumber pekerjaan baharu dan pemacu pertumbuhan ekonomi. Dengan perancangan strategik, pelaburan dalam latihan penjaga profesional, pembangunan infrastuktur serta penggunaan teknologi kesihatan digital, ekonomi penjagaan boleh menjadi sektor pertumbuhan baharu yang menyumbang kepada KDNK. Seiring dengan perubahan ini, ekonomi penjagaan merupakan antara bidang keutamaan yang diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Malaysia juga telah melancarkan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan 2026-2030 sebagai langkah produktif ke arah persediaan negara menua. Justeru, persoalannya sama ada Malaysia benar-benar bersedia menghadapi gelombang penuaan menjelang 2030 dan seterusnya. Adakah ekonomi penjagaan akan menjadi tekanan struktur kepada ekonomi negara, atau Malaysia mampu memanfaatkan peralihan demografi ini sebagai peluang pembangunan ekonomi yang strategik untuk menyokong kesejahteraan sosial dan kestabilan fiskal? Peralihan demografi yang sedang berlaku dan pelaksanaan dasar yang dibangunkan bakal menentukan keupayaan ekonomi penjagaan Malaysia pada masa hadapan.

Penulis adalah Ketua Pegawai Penyelidik di Nusantara Academy for Strategic Research.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast