JOHOR BAHRU – Kerajaan dicadang melaksana penstrukturan semula projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bermasalah dengan melantik pemaju penyelamat yang berwibawa bagi memastikan projek dapat disiapkan segera.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor Suraya Sulaiman berkata, cadangan tersebut sebagai langkah penyelesaian menangani kegagalan projek-projek PR1MA di negeri ini.
Beliau menjelaskan, ini melibatkan projek-projek yang sehingga kini masih terbengkalai, lewat disiapkan atau tidak memenuhi spesifikasi yang dijanjikan kepada pembeli.
Selain itu katanya, penubuhan satu pasukan khas di peringkat negeri dan Persekutuan amat diperlukan bagi memantau projek terbengkalai secara telus dan berkala.
“Kerajaan juga disaran menyediakan moratorium atau bantuan kewangan sementara kepada pembeli yang terjejas bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
“Dalam masa yang sama, penetapan harga siling rumah mampu milik yang lebih realistik perlu dilaksanakan selari dengan pendapatan sebenar rakyat, di samping memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju bagi mempercepatkan kelulusan projek tanpa menjejaskan kualiti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pemaju yang gagal juga perlu dilaksanakan termasuk tindakan undang-undang dan senarai hitam bagi mengelakkan kejadian berulang, selain memastikan pemantauan kualiti pembinaan dipertingkatkan.
Tegasnya, kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dalam isu yang menyentuh hak asas rakyat untuk memiliki tempat tinggal yang selamat dan selesa.
Kegagalan projek PR1MA serta harga rumah yang melambung tinggi jelas menunjukkan kelemahan serius dalam perancangan dan pelaksanaan dasar perumahan negara, katanya.
Pejuang Johor memandang serius kegagalan projek-projek perumahan PR1MA di negeri ini dan isu berkenaan bukan lagi sekadar aduan terpencil.
Malah katanya, sudah dilaporkan secara meluas termasuk melibatkan projek PR1MA di Tebrau di sini yang mengalami kelewatan ketara sehingga menjejaskan pembeli rumah pertama.
Untuk rekod katanya, PR1MA ditubuhkan pada 4 Julai 2011 di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Penubuhan rasmi itu diperkukuhkan melalui Akta PR1MA 2012 (Akta 739) yang mewujudkan Perbadanan PR1MA Malaysia sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau berkata, tujuan asal PR1MA adalah untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti bagi golongan berpendapatan sederhana (M40) dengan harga lebih rendah daripada pasaran.
Menurut Suraya, projek-projek PR1MA dilaksanakan oleh pemaju swasta yang dilantik, manakala PR1MA bertindak sebagai penyelaras dan pemantau.
“Namun begitu, realiti hari ini amat membimbangkan apabila PR1MA yang sepatutnya menjadi solusi kepada isu pemilikan rumah rakyat kini dilihat gagal mencapai matlamat asalnya,” katanya.
Walaupun PR1MA masih wujud di bawah KPKT dan telah melalui penstrukturan semula selepas 2018, beliau memberitahu, sebahagian projek masih menghadapi masalah kelewatan atau terbengkalai termasuk di Johor.
“Kegagalan ini telah memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Berdasarkan laporan media, terdapat pembeli yang terpaksa menanggung beban kewangan berganda dengan bayaran ansuran bank mencecah lebih RM1,000 sebulan, dalam masa yang sama perlu menyewa kediaman lain kerana rumah yang dijanjikan tidak siap,” ujarnya.
Situasi itu kata beliau, menekan rakyat dan menunjukkan kelemahan serius dalam pelaksanaan projek perumahan yang sepatutnya membantu, bukan membebankan.
Dalam masa yang sama katanya, rakyat turut berdepan dengan realiti harga perumahan semasa yang semakin tinggi dan tidak munasabah.
Suraya berkata, banyak kawasan di Johor, harga rumah kini mencecah ratusan ribu ringgit, jauh daripada kemampuan sebenar golongan B40.
Keadaan itu katanya, menyebabkan semakin ramai rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri dan terpaksa terus menyewa dalam jangka masa panjang tanpa jaminan kestabilan hidup.
“Lebih membimbangkan kata Suraya, isu PR1MA bukan hanya berlaku di Johor tetapi turut melibatkan pelbagai negeri lain dengan laporan menunjukkan wujudnya projek ‘sakit’ atau terbengkalai yang mengambil masa bertahun untuk disiapkan.
Malah terdapat kes di mana kontraktor projek PR1MA telah disenarai hitam akibat gagal mematuhi syarat dan menyiapkan pembinaan, sekali gus membuktikan wujudnya kelemahan dari segi pemantauan dan akauntabiliti, katanya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor menuntut penjelasan segera daripada pihak berkaitan mengenai status sebenar projek-projek PR1MA yang bermasalah di Johor serta pelan tindakan yang jelas dan berkesan bagi memastikan projek terbengkalai ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memberikan jaminan perlindungan kepada pembeli termasuk pampasan sewajarnya atas kelewatan dan kerugian yang ditanggung, di samping mengambil langkah menyeluruh untuk mengawal harga rumah agar benar-benar mampu dimiliki oleh golongan B40 dan M40.
Pejuang Johor akan terus memantau isu berkenaan dan mendesak agar tindakan segera diambil demi kepentingan rakyat.
“Rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi asas kesejahteraan hidup rakyat dan ia mesti mampu dimiliki, bukan sekadar janji,” katanya.- MalaysiaGazette
















