Penguat Kuasa KPDN melakukan pemantauan di sebuah stesen minyak bagi melakukan pemeriksaan bakalan diesel di negeri ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbezaan harga diesel antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta negara jiran seperti Thailand menimbulkan persoalan terhadap konsistensi dasar kerajaan, kata pemerhati politik, Azizi Safar.

Menurut beliau, kenaikan harga bahan api susulan konflik global khususnya di Asia Barat adalah sesuatu yang boleh difahami kerana ia berkait rapat dengan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat di Semenanjung adalah mengapa harga diesel meningkat ketara, sedangkan subsidi masih dapat dikekalkan di Sabah dan Sarawak.

“Kalau subsidi masih boleh dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, timbul persoalan mengapa pendekatan sama tidak digunakan di Semenanjung.

“Ini menyebabkan ada tanggapan bahawa rakyat di Semenanjung terpaksa menanggung beban lebih besar atas nama rasionalisasi subsidi,” tulis beliau di Facebook pagi ini.

Azizi Safar

Azizi turut membangkitkan perbandingan dengan Thailand yang menurutnya mampu menawarkan harga diesel lebih rendah walaupun bukan negara pengeluar minyak.

Katanya, situasi itu menimbulkan persoalan terhadap kecekapan pengurusan dan pelaksanaan dasar dalam negara, memandangkan Malaysia mempunyai sumber petroleum sendiri.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kemarahan rakyat bukan semata-mata berpunca daripada kenaikan harga global, sebaliknya lebih kepada persepsi bahawa dasar yang dilaksanakan tidak seragam.

“Bila terdapat perbezaan antara wilayah dalam negara sendiri, ia akan menimbulkan persoalan tentang keadilan dalam pelaksanaan dasar.

“Begitu juga apabila negara jiran yang bergantung kepada import mampu menawarkan harga lebih rendah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa isu harga bahan api bukan sekadar melibatkan faktor ekonomi semata-mata, tetapi turut mencerminkan aspek keadilan sosial dan kecekapan pentadbiran kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast