Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendakwa menerima mesej tidak langsung bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu berdamai selepas mendakwa sebelum ini mengarahkan serangan terhadapnya dihentikan.

Dakwanya, perkara itu dimaklumkan oleh seorang rakannya di dalam UMNO kepadanya.

“Dia kata Zahid ingin berdamai dan telah arahkan orang-orangnya untuk berhenti menyerang saya, selain meminta saya menghentikan kritikan terhadap UMNO,” dedahnya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Isham mempersoalkan langkah tersebut dengan menyifatkan ia seolah-olah mengesahkan wujudnya usaha terancang sebelum ini untuk menyerangnya.

“Ini bermakna sebelum ini memang ada pihak yang gigih menyerang saya, walaupun saya bukan sesiapa dalam parti. Bila saya balas, mereka tidak tahan dan kini mahu berdamai,” ujarnya.

Dalam masa sama, Isham menegaskan beliau tidak pernah menyerang UMNO secara keseluruhan, sebaliknya hanya mengkritik apa yang disifatkannya sebagai ‘UMDAP’.

“Saya akan terus istiqamah mengkritik selagi gabungan ini tidak kembali kepada perjuangan asal UMNO,” katanya.

Dakwanya lagi, orang yang sama telah memintanya untuk terus melakukan serangan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa menyerang UMNO.

Beliau turut mendakwa wujud perancangan untuk UMNO bergerak secara solo menjelang pilihan raya akan datang, namun percaya langkah itu tidak lagi mampu mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Jika itu berlaku sekalipun, ia sudah terlambat kerana rakyat tidak lagi percaya kepada UMNO atau UMDAP,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast