Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.

KUALA LUMPUR – Keuntungan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu dilihat sebagai kekayaan strategik negara dan bukan dibelanjakan melalui subsidi bahan api secara pukal, kata Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.

Beliau menyifatkan cadangan Pengerusi Urimai, P Ramasamy untuk memperluaskan subsidi bahan api menggunakan keuntungan luar jangka syarikat minyak negara itu sebagai tidak mampan serta tidak bertanggungjawab dari sudut fiskal.

Menurutnya, Malaysia wajar mencontohi pendekatan Norway yang mengurus hasil minyak menerusi dana kekayaan berdaulat secara berdisiplin, di mana sebahagian besar hasil disimpan dan dilaburkan di peringkat global.

Katanya, pendekatan itu membolehkan pembinaan kekayaan jangka panjang, kestabilan fiskal serta keupayaan menghadapi turun naik pasaran komoditi.

Zhemin berkata, perbelanjaan subsidi bahan api kini meningkat ketara daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada RM3.2 bilion, bersamaan kira-kira RM38 bilion setahun.

“Ini merupakan komitmen kewangan yang besar dan perlu dinilai dengan teliti berbanding keutamaan lain seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur serta daya tahan ekonomi negara,” tulisnya dalam Facebook.

Beliau berkata, walaupun kenaikan harga minyak global mampu meningkatkan hasil Petronas, tambahan itu tidak mencukupi untuk menyokong peluasan subsidi secara besar-besaran.

Menurutnya, pada paras harga sekitar AS$100 setong, Petronas dianggarkan memperoleh tambahan antara RM25 bilion hingga RM35 bilion setahun, namun jumlah itu hanya mencukupi untuk menampung subsidi sedia ada.

“Jika diperluaskan secara pukal, ia akan memberi tekanan besar kepada kewangan negara,” katanya.

Tambah beliau, keadaan itu bermakna tiada ruang untuk simpanan fiskal atau pelaburan semula, melemahkan keupayaan negara menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga pada masa depan.

Jelas beliau, sekiranya harga minyak meningkat kepada AS$120 setong, subsidi bahan api boleh mencecah antara RM50 bilion hingga RM70 bilion setahun, sedangkan tambahan keuntungan hanya sekitar RM40 bilion hingga RM55 bilion.

Katanya, jika harga mencecah AS$150 setong, perbelanjaan subsidi boleh melebihi RM80 bilion, jauh mengatasi peningkatan hasil minyak.

“Ini menunjukkan harga minyak tinggi bukan memperkukuh kedudukan fiskal negara, sebaliknya menambah beban,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia masih merupakan pengimport bersih minyak, dengan sebahagian besar bekalan melalui Selat Hormuz, menyebabkan kenaikan harga global memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik.

Beliau berkata, keadaan itu meningkatkan kos perniagaan, memberi tekanan kepada rantaian bekalan serta menambah beban kos sara hidup rakyat.

Tegasnya, subsidi pukal bersifat regresif kerana lebih memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan lebih bahan api, berbanding golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, peluasan subsidi secara menyeluruh akan mengurangkan kecekapan perbelanjaan awam dan menyalurkan sumber terhad kepada pihak yang kurang memerlukan.

“Penggunaan keuntungan Petronas secara berlebihan untuk perbelanjaan berulang juga boleh menjejaskan keupayaan pelaburan, kapasiti pengeluaran masa depan dan nilai jangka panjang syarikat itu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk mengekalkan pendekatan subsidi bersasar dengan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, di samping memastikan disiplin fiskal terus dipelihara.

“Malaysia perlu mengimbangi keperluan bantuan segera dengan kestabilan jangka panjang, dan ini memerlukan dasar yang teliti serta berdisiplin, bukan langkah populis jangka pendek yang boleh menimbulkan cabaran lebih besar pada masa hadapan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast