GEORGE TOWN – Trend menggunakan perkhidmatan pembersihan rumah secara upah menjelang Aidilfitri dilihat membimbangkan kerana berisiko mengikis budaya gotong-royong dan hubungan kekeluargaan.
Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya, Datuk Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi akui trend menggunakan perkhidmatan pembersihan rumah secara upah menjelang Aidilfitri memang semakin ketara dalam masyarakat hari ini.
Katanya, terdapat kebimbangan dari sudut budaya dan hubungan kekeluargaan kerana dahulu membersihkan rumah menjelang Aidilfitri sering dilakukan secara gotong-royong oleh seluruh ahli keluarga, di mana aktiviti ini bukan sekadar kerja rumah tetapi juga menjadi ruang untuk bergurau, berbual, dan mengeratkan hubungan.
“Apabila kerja tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak luar, sedikit sebanyak suasana kebersamaan itu boleh terhakis.
“Fenomena ini mengingatkan kita kepada tradisi lain yang semakin pudar seperti mengirim kad raya fizikal, yang dahulu menjadi simbol hubungan sosial lebih mesra dan peribadi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata bahawa dari satu sudut, fenomena ini mencerminkan perubahan gaya hidup moden kerana ramai keluarga kini berdepan dengan jadual kerja yang padat, anak-anak sibuk dengan aktiviti sekolah, serta keletihan selepas seharian bekerja.
Katanya, dalam keadaan ini, mengambil khidmat pembersihan mengikut jam menjadi pilihan yang praktikal untuk memastikan rumah benar-benar bersih menjelang raya, terutamanya apabila tenaga dan masa keluarga sendiri terhad.
“Dalam modeniti kini, anak-anak bekerja sepenuh masa manakala ibu bapa juga ramai yang bekerja, sekali gus menyebabkan kesuntukan waktu dan ia mungkin menjadi pengecualian sekiranya anak-anak tidak sibuk, jadual kerja lebih anjal, ibu bapa bekerja secara fleksibel, atau kurang mampu mengupah pembantu.
ARTIKEL BERKAITAN
“Selain itu, trend ini juga mempunyai sisi ekonomi yang positif di mana ia membuka peluang pekerjaan sambilan kepada anak muda, suri rumah sepenuh masa, malah pekerja gig yang ingin menambah pendapatan.
“Dalam ekonomi bandar yang semakin mencabar, perkhidmatan seperti ini menjadi salah satu bentuk ekonomi mikro yang membantu kelangsungan hidup ramai orang,” katanya.
Sehubungan itu, jelas beliau, isu ini sebenarnya bukan semata-mata soal menerima atau menolak perkhidmatan tersebut tetapi bagaimana mengekalkan keseimbangan.
“Mengambil khidmat pembersihan mungkin membantu dari segi masa dan tenaga tetapi keluarga masih boleh mengekalkan tradisi kebersamaan melalui aktiviti lain seperti menghias rumah, memasak juadah raya bersama atau membuat persiapan terakhir menjelang Aidilfitri.
“Rumusannya, realiti kehidupan moden memang menuntut kepraktisan, tetapi nilai kebersamaan keluarga dan budaya gotong-royong tidak seharusnya hilang sepenuhnya.
“Teknologi dan perkhidmatan boleh membantu kehidupan, namun hubungan manusia tetap perlu dipelihara agar semangat Aidilfitri sebagai waktu merapatkan silaturahim terus kekal hidup,” katanya. – MalaysiaGazette















