Bekas Mufti Melaka, Rashid Redza meninggal dunia pada usia 76 tahun akibat sakit di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, Melaka, jam 4 pagi tadi.

MELAKA – Bekas Mufti Melaka, Datuk Rashid Redza Md. Salleh, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini kira-kira jam 4 pagi tadi selepas dua bulan mengalami keuzuran.

Berita duka itu disahkan oleh anak kedua Allahyarham, Ahmad Fathi Rashid Redza, 39, yang memaklumkan bapanya meninggal dunia akibat sakit tua.

“Jenazah dijangka dikebumikan sebelum solat Zohor di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Ayer Molek, selepas disolatkan di Masjid Al Khairiyah, Ayer Molek,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Rashid Redza Md. Salleh

Allahyarham memulakan kerjaya di Jabatan Agama Islam Melaka pada tahun 1982 dan kemudiannya dilantik sebagai Mufti Negeri Melaka selama 15 tahun.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri pada tahun 2011.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Wira Zoriah Mohamad, 68, serta lima orang anak.

Pemergian tokoh agama ini turut dirasai oleh komuniti setempat yang mengenang jasa dan sumbangannya dalam bidang agama Islam di negeri ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast