Budget 2027 should strengthen preventive healthcare, retirement savings, elderly care services and support for families with caregiving responsibilities. File picture

 

KENYATAAN seorang mufti berhubung isu riba dalam aktiviti tukar duit raya dihargai kerana beliau dilihat sebagai satu-satunya tokoh agama yang tampil memberi nasihat mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, terdapat tiga sebab utama mengapa kenyataan tersebut berpotensi disalah fahami oleh masyarakat jika tidak diperincikan dengan lebih jelas.

Pertama ialah isu “stok di tangan” atau inventory problem.

Jika penjelasan hanya menyebut mengenai “upah usaha dan masa”, peniaga mungkin menggunakan alasan  mereka juga telah berusaha mendapatkan wang kecil dengan beratur di bank terlebih dahulu sebelum menjualnya kepada pelanggan.

Hakikatnya, menurut prinsip Islam, sekiranya wang tersebut sudah dimiliki, ia tidak boleh dijual semula dengan nilai lebih tinggi.

Oleh itu, penjelasan lebih tepat ialah upah hanya boleh diambil sekiranya individu bertindak sebagai wakil atau ‘runner’ yang mendapatkan wang dari bank selepas menerima pesanan, bukannya menjual stok wang yang sudah berada dalam simpanannya.

Perkara kedua ialah kaedah pengiraan upah, sama ada secara tetap atau berdasarkan peratusan.

Tanpa penjelasan khusus, terdapat kemungkinan sesetengah pihak mengenakan caj mengikut peratusan jumlah wang yang ditukar.

Sebagai contoh, menukar RM100 dikenakan upah RM10 manakala menukar RM1,000 dikenakan RM100.

Dari sudut logik syarak, jika upah tersebut berasaskan usaha seperti masa, tenaga atau kos minyak, kadar penat lelah adalah sama sama ada membawa RM100 atau RM1,000.

Justeru, apabila kadar upah meningkat mengikut jumlah wang, ia bukan lagi bayaran kerja tetapi keuntungan daripada nilai wang, yang boleh menjurus kepada unsur riba.

Selain itu, kenyataan yang terlalu umum juga dikhuatiri membuka ruang kepada “black market” duit raya.

Ulat-ulat tukar duit raya di media sosial berpotensi menggunakan tangkap layar kenyataan mufti sebagai justifikasi untuk beroperasi secara terbuka dengan mendakwa bahawa pengambilan upah adalah dibenarkan.

Sedangkan secara praktiknya, ramai yang mempunyai stok wang sendiri, mengenakan caj tinggi dan memperoleh keuntungan tanpa usaha sebenar, yang boleh dikategorikan sebagai riba.

Sehubungan itu, penjelasan lebih terperinci daripada pihak berautoriti agama dilihat penting bagi memastikan masyarakat memahami garis panduan sebenar serta mengelakkan penyalahgunaan hukum dalam aktiviti tukar duit raya menjelang musim perayaan pada masa akan datang.

Mohd Zaini
Kuala Lumpur

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast