KUALA SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas lori tiga tan yang dipandunya terlibat dalam nahas jalan raya di simpang Jalan Suara, Kampung Tambak Jawa, di sini, awal pagi semalam.
Penolong Pengarahnya, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.32 pagi sebelum sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor digerakkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Hafizi Wahidin mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan telah terbabas dan telah terbalik ke dalam parit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelas Ahmad Mukhlis, pihaknya menemukan seorang mangsa berusia 38 tahun dalam keadaan tersepit di bahagian pemandu.
“Anggota bertindak membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan rescue cutter,” katanya.

Katanya lagi, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia selepas pihaknya berjaya mengeluarkan jam 8.50 pagi.
“Mangsa disahkan meninggal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis.
“Anggota bomba kemudiannya membuat kerja-kerja pembersihan jalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















