KUALA LUMPUR – Ramai akar umbi dan pemimpin pertengahan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diramal mengubah haluan dan kembali kepada UMNO menerusi Rumah Bangsa susulan konflik di antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah baru-baru ini.
Pemerhati politik, Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi yang juga Felo Kanan di Akademi Kenegaraan Malaysia berkata, perubahan haluan itu dipercayai bakal berlaku selepas melihat Bersatu semakin hilang kekuatan, dalam masa yang sama Hamzah pula dikatakan bakal menerajui Parti Keluarga Malaysia (PKM) yang belum mampu memberi jaminan.
“Sebab dahulu (akar umbi dan pemimpin pertengahan) mengharapkann Bersatu lebih baik dan lebih stabil, serta lebih kuat daripada UMNO. Kini Bersatu bukan lagi ada kuasa di Putrajaya, sebaliknya semakin lemah dan berpecah.
“PKM pula tiada jaminan lebih baik kerana sekadar serpihan daripada Bersatu. PKM juga bukan parti pemerintah di Putrajaya.
“Maka lebih baik UMNO yang kini lebih stabil, terbuka melalui Rumah Bangsa dan menjadi teras dalam kerajaan perladuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Namun menurutnya, peralihan itu tidak akan berlaku secara besar-besaran pada peringkat awal.
“Perpindahan mungkin berlaku secara terpilih, terutama dalam kalangan pemimpin yang rapat dengan Hamzah atau yang melihat PKM sebagai saluran politik baharu,” katanya lagi.
Beliau berkata, pergaduhan di antara Muhyiddin dan Hamzah mengakibatkan blok pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN) semakin ‘hilang taring’.
Malah, ujar Awang Azman, situasi tersebut bakal mewujudkan persaingan pengaruh di antara Bersatu dan PKM, sekiranya benar-benar wujud tidak lama lagi kerana ia bakal menjadi parti pilihan kepada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin.
Jelasnya, dualisme kuasa blok Bersatu berkemungkinan bakal wujud meskipun parti itu masih menjadi parti utama dalam Perikatan Nasional (PN).
“Tetapi PKM berpotensi menjadi platform alternatif kepada kumpulan yang tidak lagi selesa dengan kepimpinan Bersatu,” tambahnya.
Sementara itu, beliau tidak menafikan Muhyiddin masih mempunyai aura yang lebih besar dan menonjol berbanding bekas Setiausaha Agungnya itu kerana pernah menjadi Perdana Menteri, dalam masa yang sama merupakan pengasas Bersatu.

Bagaimanapun kata beliau, aura Hamzah tidak boleh diperlekehkan kerana beliau adakah operator politik strategik dalam PN, jadi sudah tentu mempunyai jaringan dalaman parti yang lebih luas.- MalaysiaGazette
















