KUALA LUMPUR – Tindakan pantas anggota polis berjaya membantu sepasang suami isteri menemukan semula anak perempuan mereka yang tertinggal di hentian rehat Sungai Merab, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh seorang bapa kepada anggota yang sedang bertugas di sekatan jalan raya di bawah pentadbiran Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, dua anggota polis segera bertindak mengiringi keluarga berkenaan ke lokasi kejadian bagi mengesan remaja tersebut.
“Anggota terlibat, Koperal Rodzery Adderly anak Raden dan Lans Koperal Muhammad Amirul Fazid Mohamed Shukri, telah mengambil tindakan segera membantu keluarga berkenaan.
“Hasil usaha itu, remaja perempuan terbabit berjaya ditemui dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata, polis akan terus komited dalam memberikan bantuan kepada masyarakat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette















