ALOR GAJAH – Bayangkan menjejakkan kaki ke kawasan bergolak di Iraq, dikelilingi sisa berbahaya yang mengeluarkan radiasi dan periuk api di mana satu langkah silap boleh meragut nyawa.
Inilah realiti yang dihadapi Wan Norkhairiyah Wan Montil, 50, anak jati Melaka, ketika menilai kawasan tercemar bagi tujuan pengurusan sisa berbahaya – bidang jarang diceburi ‘tangan yang menghayunkan buaian’.
Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini, beliau memulakan kerjaya dalam bidang minyak dan gas bersama syarikat ExxonMobil selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Komputer di United Kingdom.

Kerjayanya kemudian terus berkembang di sebuah syarikat minyak tempatan yang membangunkan teknologi pembersihan minyak daripada bahan pepejal hasil penggerudian.
Teknologi ini memenangi geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk dikomersialkan, sekali gus membuka laluan kepada penglibatan dalam pengurusan sisa berbahaya.
Beliau kemudian membawa teknologi tersebut ke Oman bersama Petroleum Development Oman sebelum seterusnya berpengalaman di Sudan Selatan dan kini Libya.

Beliau turut berpengalaman bekerja di Sudan Selatan dan kini di Libya yang masing-masing mempunyai cabaran berbeza termasuk Libya yang berdepan ketidakstabilan politik.
“Malam pertama saya tiba di Libya, berlaku peperangan selama tiga hari tiga malam sampaikan ke hari ini, kalau dengar bunyi mercun pun saya masih berdebar kerana bunyinya seperti perang.
“Walaupun terdapat insiden pemberontakan, kawasan operasi minyak dan gas jarang diganggu kerana ia sumber utama pendapatan negara,” kata ibu kepada tiga anak berusia 26, 24 dan 14 tahun itu.

Wan Norkhairiyah turut menceritakan pengalaman paling mencabar ketika diarahkan menilai kawasan tercemar radiasi di Iraq, sebuah negara bergolak.
“Untuk masuk ke kawasan itu, terdapat banyak periuk api. Walaupun pihak berkuasa mengesahkan ia selamat, saya tetap bertegas supaya seorang individu menggunakan pengesan logam di hadapan dan belakang kami.
“Jika tersilap langkah, nyawa menjadi taruhan,” katanya mengimbas detik paling mencabar sepanjang 20 tahun kerjayanya.

Bercerita lanjut beliau berkata, bekerja di kawasan medan minyak memberi cabaran tersendiri, terutama memastikan pematuhan prosedur Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE).
“Sepanjang kerjaya, terdapat satu kematian berlaku ketika penyelenggaraan injap tekanan tinggi pada 2018 dan insiden itu menjadi pengajaran besar tentang kepentingan SOP HSE.
“Industri minyak dan gas sangat tegas dan kita tidak boleh ambil mudah walaupun sedikit kesilapan,” katanya.
Wan Norkhairiyah menegaskan pengurusan sisa berbahaya bukan sekadar keselamatan, tetapi juga menentukan pembangunan jangka panjang sesebuah negara.
“Kegagalan mengurus sisa industri boleh mencemarkan air bawah tanah, menjejaskan kesihatan penduduk, dan menambah kos pemulihan.
“Setiap operasi industri bertanggungjawab melaksanakan kerja pembersihan dan pemulihan sebelum menamatkan operasi. Kegagalan boleh menyebabkan tindakan undang-undang dan menjejaskan imej negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















