Badrul Hisham Shaharin.

Dakwaan bayaran RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR bagi menutup kes ‘mafia korporat’ mencetuskan desakan agar siasatan dipercepatkan, dengan aktivis politik, Chegu Bard mempersoalkan motif sebenar pendedahan yang dibuat hanya selepas siasatan polis bermula.

 

KUALA LUMPUR – Motif sebenar Victor Chin membuat pendedahan membayar RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menutup kes ‘mafia korporat’ mencetuskan persoalan kerana ia dibongkarkan selepas siasatan polis bermula.

Chegu Bard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin mantan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pengakuan Victorn itu menimbulkan persoalan serius berkaitan unsur rasuah, ugutan serta kemungkinan pelanggaran undang-undang lain.

Menurutnya, berdasarkan laporan media, Victor sebelum ini dikaitkan dengan pendedahan oleh media asing berhubung dakwaan rangkaian ‘mafia korporat’.

Victor kemudian tampil mengeluarkan kenyataan terbuka susulan siasatan yang dimulakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penulisan tersebut.

“Beliau sendiri mengaku terlibat dalam pembayaran RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR. Ini bermaksud ada pengakuan memberi rasuah serta menyimpan maklumat sebagai ugutan,” katanya hari ini.

Tambahnya, tindakan membuat pendedahan hanya selepas disiasat pihak berkuasa menimbulkan tanda tanya sama ada maklumat itu sebelum ini disimpan sebagai alat tekanan.

“Jika benar tidak bersalah, kenapa perlu membuat bayaran tersebut? Ini menunjukkan wujud elemen menggunakan wang untuk menutup sesuatu kesalahan,” katanya.

Chegu Bard turut merujuk laporan media yang mendakwa individu berkenaan meminta wang tersebut dipulangkan, dengan ancaman untuk mendedahkan identiti ahli Parlimen terbabit sekiranya gagal berbuat demikian.

Keadaan itu dakwanya, seolah-olah menggambarkan jenayah boleh ‘dirunding’ atau diselesaikan melalui bayaran semula, yang menurutnya bercanggah dengan prinsip undang-undang.

“Jika wang dipulangkan, adakah kesalahan itu akan dianggap selesai dan tidak didedahkan? Ini satu bentuk undang-undang rimba yang tidak boleh diterima,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan undang-undang diambil segera terhadap individu terbabit.

Ini termasuk siasatan di bawah kesalahan rasuah, ugutan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) memandangkan ia melibatkan sumber kewangan yang disyaki.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar media dan masyarakat tidak terpesong dalam menilai isu berkenaan, khususnya apabila pendedahan dibuat oleh individu yang sendiri mengakui penglibatan dalam kesalahan.

“Penjenayah bukan hero dan tidak seharusnya diangkat sebagai hero,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak berkaitan, termasuk parti politik dan kerajaan, tidak boleh berdiam diri terhadap dakwaan serius tersebut, sebaliknya perlu memberi penjelasan dan memastikan siasatan dijalankan secara telus serta menyeluruh. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast