KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak mengambil mudah soal keselamatan negara akibat konflik Asia-Barat susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Republik Islam Iran.
Beliau berkata, walaupun Malaysia sebuah negara yang pesat membangun, berkembang dan paling aman, namun PDRM perlu berwaspada kerana pesaing dan musuh-musuh negara sedang memerhatikan negara ini.
“PDRM perlu memahami permasalahan ini, lebih-lebih utama ialah kesan keselamatan. Dalam keadaan kekacauan ini, jangan anggap kita terasing.
“Malaysia syukur Alhamdulillah di antara satu negara membangun, berkembang, punya potensi dan paling aman yang menyenangkan rakyat kita, tetapi menimbulkan keresahan dalam kalangan penyaing atau musuh-musuh kita, jadi harus waspada.
“Saya berikan maklumat ini kerana saya juga mendapat penjelasan, pencerahan daripada rakan-rakan peringkat antarabangsa, selain badan-badan risikan kita.
“Percayalah, jangan pandang ringan dan enteng isu keselamatan negara kita,” katanya berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Perdana Menteri juga berkata, Malaysia khususnya pasukan keselamatan negara harus lebih berwaspada dan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan kesan daripada konflik Asia Barat itu.
“Semalam kita ada mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), tadi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), kerana negara tidak terlepas tempiasan daripada kemelut politik dan peperangan akibat serangan zionis Israel dan Amerika ke atas Iran dan keupayaan Iran membalas dengan begitu berkesan.
“Pertama di negara-negara teluk, Turki dan Azerbaijan tapi sekarang melebar, hampir semua negara di dunia dengan kesekatan di Teluk Hormuz.
“Pagi tadi CEO Petronas turut memberikan penjelasan, ia bukan isu yang mudah, ia isu yang berat,” katanya.
Selain itu, kata Perdana Menteri, beliau turut mengingatkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail untuk menetapkan strategi baharu untuk memastikan keselamatan negara terjamin.
“Dalam mana-mana teori negara dari segi keamanan, semuanya tanpa kecuali mengingatkan kita untuk meningkat kewaspadaan, lebih-lebih lagi bila keadaan itu tidak menentu di luar.
“Ini pesan saya, saya harap Ketua Polis Negara yang juga turut hadir bersama menteri dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sebaik pulang ke pejabat untuk memanggil semua pimpinan PDRM dan menjelaskan kepada mereka dan menetapkan beberapa strategi baharu untuk memastikan keselamatan kita dan negara kita terkawal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















