KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli melahirkan kebimbangan isu RM9.5 juta yang dikaitkan dengan seorang Ahli Parlimen PKR mungkin menandakan peringkat lebih serius apabila sistem penguatkuasaan sendiri didakwa terjerumus dalam persekongkolan.
Dalam reaksi terbaharu, Rafizi berkata, situasi menjadi bahaya apabila pihak berkuasa bukan sahaja mengetahui kegiatan tersebut, malah tindakan diambil didakwa memudahkan penjenayah.
“Pada tahap ini, ia bukan lagi soal menutup mata. Ia sudah masuk ke tahap persekongkolan.
“Sebab itu apabila Victor Chin mengatakan supaya siasatan tidak tertumpu kepada dirinya sahaja, tetapi turut membabitkan pihak lain, termasuk yang didakwa menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) untuk menekan, perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, dakwaan tersebut melangkaui kes biasa kerana membabitkan kemungkinan pihak dalam sistem yang sepatutnya membanteras jenayah, tetapi didakwa menjadi sebahagian daripada ekosistem berkenaan.
“Ia bukan tuduhan kecil. Ia adalah dakwaan bahawa ada pihak dalam sistem yang sepatutnya membanteras jenayah, tetapi didakwa menjadi sebahagian daripada ekosistem berkenaan.
“Apabila nilai kegiatan haram mencecah puluhan bilion, perlindungan kecil tidak lagi mencukupi. Mereka memerlukan pengaruh, kedudukan dan individu yang mampu membuka jalan. Di sinilah politik mula terbabit,” tegasnya.
Menurut Rafizi, perkara itu bukan melibatkan satu atau dua individu semata-mata, sebaliknya menggambarkan bagaimana wang haram, penguatkuasaan dan politik boleh bercampur dalam satu sistem yang sama.
“Ia bukan membabitkan satu atau dua nama. Ini tentang bagaimana wang haram, penguatkuasaan dan politik boleh bercampur dalam sistem yang sama.Apabila itu berlaku, negara menjadi terlalu mudah dikompromikan,” Jelasnya.
Dalam masa sama, Rafizi turut memberi penjelasan berhubung spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan dakwaan tersebut.
Bekas Menteri Ekonomi itu menegaskan beliau bukan individu yang didakwa menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan berkenaan.
“Bukan saya,” katanya ringkas menerusi kenyataan di Facebook.
Terdahulu, kekecohan tercetus susulan pendedahan oleh ahli perniagaan, Victor yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta sebagai penyelesaian kepada isu berkaitan skandal mafia korporat.
Menurut dokumen setebal 40 muka surat yang dikongsikan, Victor atau nama sebenarnya Chin Boon Loong mendakwa beliau hanya menyerahkan RM9.5 juta pada peringkat awal, manakala baki RM500,000 tidak diserahkan kerana isu tersebut tidak diselesaikan seperti dijanjikan.
Victor turut dilaporkan mengugut untuk mendedahkan identiti individu terbabit sekiranya wang berkenaan tidak dikembalikan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan umum. – MalaysiaGazette
















