GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang akan melaksanakan penggunaan mesin memproses sisa makanan sepanjang musim perayaan termasuk Aidilfitri bagi menguruskan lebihan makanan dengan lebih sistematik.
Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Rashidah Jalaludin berkata, inisiatif itu akan diteruskan sebagaimana dilaksanakan ketika sambutan Thaipusam sebelum ini.
“Projek ini akan diteruskan dalam beberapa sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menempatkan mesin memproses sisa makanan atau menggunakan kaedah kutipan ‘tong biru’,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Menurut beliau, rekod terdahulu menunjukkan peningkatan sisa makanan ketika Aidilfitri dan pihaknya berharap jumlah itu dapat dikurangkan tahun ini.
“Sambutan hari raya dan rumah terbuka merupakan tradisi, namun ia tidak wajar dijadikan sebab untuk pembaziran.

“Orang ramai disaran memasak mengikut keperluan dan menyediakan lebih makanan yang boleh disimpan berbanding makanan mudah rosak.
“Lebihan makanan yang masih selamat dimakan boleh disumbangkan kepada yang memerlukan atau dijadikan ‘buah tangan’, manakala sisa yang tidak dapat dielakkan boleh dijadikan kompos atau makanan ternakan,” katanya.
Mengulas lanjut Rashidah berkata, kajian komposisi sisa yang dijalankan MBPP pada penghujung 2025 mendapati sebanyak 47.05 peratus sisa pepejal di kawasan pulau terdiri daripada sisa makanan atau organik.
Menurutnya, usaha menggalakkan pengasingan sisa makanan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai kaedah pengasingan yang betul di rumah.
Katanya, MBPP turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk sektor swasta, peniaga, industri makanan, sekolah dan institusi selain menekankan keperluan pengurusan sisa dalam pelan pembangunan mengikut skala projek.
“Secara berperingkat, Majlis akan menempatkan fasiliti memproses sisa makanan di pasar dan kompleks makanan di bawah seliaan MBPP serta mengkehendaki peniaga memberi kerjasama dalam pengasingan sisa.
“Pelan pengurusan sisa makanan turut dilaksanakan dengan projek perintis selama enam bulan sehingga pertengahan 2026 dan beberapa unit mesin tambahan akan diperoleh dalam penggal kedua tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, Kompleks Bayan Putra dijadikan pusat pengumpulan sisa makanan dan ‘showcase’ pengurusan sisa dengan kemudahan mesin pengasingan untuk menghasilkan kompos atau produk lain.
“Kompleks ini terbuka kepada orang awam dan sektor swasta bagi melihat pelaksanaan teknologi pengurusan sisa makanan.
“Justeru pengasingan sisa makanan perlu dijadikan amalan harian, namun langkah terbaik adalah mengurangkan penjanaan sisa sejak awal dengan merancang keperluan makanan secara lebih teliti,” katanya. – MalaysiaGazette















