KUALA LUMPUR – Seorang mekanik diperintah menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan dua kali sebatan atas dua kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang masih di bawah umur, enam tahun lalu.
Mahkamah Sesyen Ampang memerintahkan bapa tiri itu (namanya tidak didedahkan kerana mempunyai kaitan dengan mangsa) menjalani hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Hakim Norshila Kamaruddin turut memerintahkan tertuduh berusia 51 tahun itu dikenakan penjara tambahan setahun bagi setiap pertuduhan. Hukuman berkuatkuasa serentak.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman manakala pendakwaan memfailkan rayuan silang terhadap hukuman.
Norshila membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan selepas menimbang permohonannya yang bersandarkan kepada faktor kesihatan akibat kemalangan yang memerlukan rawatan di hospital.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh selaku pihak yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa tiri, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa ketika kejadian berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Keramat pada bulan Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Ketika mengemukakan rayuan, mekanik itu memohon hukuman diringankan kerana kini menetap dengan ibu bapa selepas bercerai dengan ibu mangsa.
Keterangan kes menyatakan, kejadian berlaku dalam rumah yang ketika itu didiami tertuduh bersama isteri (ibu kandung mangsa), kanak-kanak tersebut dan adiknya.
Ketika itu, ibu mangsa keluar bekerja. Kejadian pertama berlaku di atas `table top’ di bahagian dapur manakala kejadian kedua di ruang tamu sejurus selepas mangsa menanggalkan pakaian untuk mandi.
Bapa kandung mangsa yang juga pengadu kes menetap di Pulau Pinang bersama isteri baharu selepas bercerai dengan ibu mangsa.
Kejadian itu terdedah selepas mangsa menceritakannya kepada ibu tiri ketika kanak-kanak itu bercuti di rumah bapanya.
Bapanya kemudian membuat laporan polis selepas mangsa turut menceritakan kejadian tersebut.
Keterangan kes turut menyatakan, mangsa juga menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya ketika mereka sedang menonton `movie’ pada hari yang sama.
“Ibunya menutup mata mangsa ketika terdapat adegan cium. Kanak-kanak itu kemudian mengaku bahawa dia juga pernah melakukan perbuatan itu dengan tertuduh,” demikian menurut penghakiman bertulis yang dimuat naik dalam laman web kehakiman pada 9 Mac lalu.
Menerusi penghakiman setebal 36 muka surat, Norshila berpuas hati, penceritaan pada hari yang sama adalah material kerana kejadian itu masih segar dalam ingatan mangsa.
Ujar beliau, keterangan itu juga gagal disanggah oleh pasukan pembelaan yang mencabar ingatan mangsa yang menceritakan perkara itu kepada ibunya.
Menurut Norshila, ibu mangsa turut bertanya suaminya berhubung perlakuan tersebut dan diakui oleh tertuduh yang kemudian memohon maaf menyebabkan wanita itu menghalaunya keluar dari rumah.
“Mahkamah mendapati ibu mangsa yakin dengan keterangan anaknya kerana kanak-kanak itu mampu menceritakan dan menggambarkan dengan mendalam kejadian yang berlaku.
“Mahkamah melihat sewaktu memberi keterangan adakalanya emosi mangsa tidak stabil dan terpaksa ditenangkan, beliau juga menangis apabila diminta mengingati insiden tersebut,” demikian menurut penghakiman itu.
Mahkamah turut menolak pembelaan tertuduh yang menyatakan ketika kejadian, mangsa menetap di Negeri Sembilan bersama neneknya, namun wanita itu tidak dipanggil memberi keterangan bagi menyokong pembelaan. – MalaysiaGazette
















