KUALA LUMPUR – Malaysia menyatakan hasrat kepada Iran agar gencatan senjata yang menyeluruh dan kekal dilaksanakan segera.
Menteri Luar Negara, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia turut menzahirkan pendirian bahawa dialog dan diplomasi amat diperlukan ketika ini dalam meredakan ketegangan dan menghentikan perang ini.
“Alhamdulillah dapat menghubungi rakan sejawat dari Republik Islam Iran, TYT Dr Seyed Abbas Araghchi pada 24 Mac 2026 bagi membincangkan perkembangan terkini di rantau Asia Barat, termasuk kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz demi kestabilan ekonomi dan tenaga global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Mohamad, Malaysia akan terus berperanan aktif dalam usaha-usaha diplomasi bagi mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau.
Sementara itu, Agensi Berita Mehr melaporkan, semasa panggilan telefon tersebut, Araghchi mengambil kesempatan menjelaskan kepada rakan sejawatannya dari Malaysia mengenai jenayah kejam yang dilakukan oleh AS dan Israel terhadap rakyat yang tidak bersalah di negara itu.
Ia khususnya serangan Israel- AS ke atas sekolah, hospital dan kawasan kediaman sekali gus beliau menekankan keazaman Iran untuk mempertahankan kedaulatan negara dan integriti wilayahnya.
Iran juga tegasnya akan mempertahankan kedaulatan negara dan integriti wilayahnya dengan kuasa dan kekuatan tertinggi.
Iran komited untuk meneruskan hubungan persahabatan berasaskan semangat kejiranan yang baik dengan semua negara di rantau ini.
Bagaimanapun menurut diplomat tertinggi Iran itu, ia tidak mempunyai pilihan selain merosakkan pangkalan dan fasiliti tentera AS dan Israel di negara-negara serantau sebagai langkah mempertahankan hak kedaulatan dan rakyatnya.
Araghchi merujuk kepada akibat pencerobohan tentera oleh AS dan rejim Zionis terhadap ekonomi, keselamatan dan kestabilan rantau ini, serta keselamatan maritim di Selat Hormuz.
Beliau menekankan bahawa ketidakamanan di Selat Hormuz adalah akibat langsung daripada pencerobohan tentera oleh AS dan rejim Zionis, dan bahawa Iran telah menerima pakai beberapa siri langkah dalam rangka kerja undang-undang antarabangsa untuk mempertahankan kedaulatan negara dan integriti wilayahnya. -MalaysiaGazette
















