KUALA LUMPUR – Pendedahan Victor Chin yang mendakwa telah menyerahkan wang sebanyak RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantu ahli perniagaan itu menyelesaikan isu yang membelenggu beliau berhubung skandal ‘mafia korporat’membuka satu naratif yang sangat serius.
Apatah lagi, dakwaan itu membabitkan sebuah syarikat strategik negara, NexG, yang terlibat dalam projek sensitif seperti pasport dan MyKad bernilai berbilion ringgit menjadi sasaran perebutan kuasa luar biasa agresif.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, apa yang didedahkan bukan sekadar konflik korporat biasa.
Sebaliknya, ia melibatkan dakwaan ugutan bunuh terhadap individu utama, peletakan jawatan pengarah secara paksa, percubaan rampasan kawalan syarikat dan pembekuan akaun bank dan akaun saham secara besar-besaran.
Selain itu, pemindahan kira-kira 150 juta saham dan dakwaan bayaran RM9.5 juta kepada seorang ahli politik.
“Jika semua dakwaan Victor Chin ini benar, ia menunjukkan satu bentuk operasi yang tersusun, bukan tindakan individu, tetapi rangkaian berkepentingan yang mempunyai akses kepada kuasa, sistem dan pengaruh.
“Daripada kronologi yang didedahkan, seolah-olah ada suatu pola yang konsisten dapat dilihat iaitu syarikat dengan kontrak kerajaan bernilai tinggi menjadi sasaran; tindakan melemahkan pihak lawan melalui ugutan, tekanan psikologi, gangguan komunikasi, ambil alih struktur dalaman dengan menukar lembaga pengarah dan memaksa peletakan jawatan; pemindahan saham dalam jumlah besar untuk mendapatkan majoriti; menggunakan tekanan sistem; pembekuan akaun dan siasatan kewangan dan dakwaan bayaran untuk mendapatkan pengaruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun Faisal mendakwa, ‘mafia korporat’ yang merupakan gandingan politikus-penguat kuasa-ahli korporat ini adalah gandingan paksi kejahatan yang menakutkan.
Ini kerana, ia bukan sekadar teori tetapi menyerupai model “corporate capture” (penguasaan korporat) yang pernah didedahkan dalam laporan antarabangsa, termasuk oleh Bloomberg, yang menyentuh kewujudan rangkaian elit korporat yang beroperasi dengan bantuan pengaruh politik dan sistem.
Beliau mendakwa, skandal ini hanya di zaman pemerintahan sekarang dan istilah mafia korporat ini tiba-tiba muncul.
“Jika dakwaan dan pendedahan Victor Chin dan Bloomberg sebelum ini benar, bermaksud ini merupakan skandal dan rompakan paling besar dalam sejarah negara ini.
“Hanya di zaman pemerintahan PM10 dan kerajaan Madani PH-BN, kita mendengar cerita lagenda tentang individu yang sangat berkuasa, kononnya kuasa dan pengaruhnya hingga ke istana, rangkaian taikun-taikun, penjawat di kementerian serta agensi-agensi penguatkuasaan dan undang-undang, sehinggalah ke peringkat ‘underworld’.
“Hanya di zaman pemerintahan PM10 dan kerajaan Madani PH-BN jugalah kita mendengar mengenai kisah agensi-agensi-agensi penguatkuasaan menjadi alat memeras ugut, merampas wang, aset dan saham, sehingga ke peringkat mengambil alih syarikat. Semua ini amat menakutkan.
“Skandal mafia korporat melibatkan gandingan politikus – penguatkuasa – penjenayah/mafia – tokoh korporat – institusi undang-undang, sekiranya benar, seolah-olah membawa kita menonton sambungan kepada trilogi filem The Godfather karya Francis Ford Coppola, cuma ini versi Malaysia,” ujar beliau.
Beliau bimbang, skandal ini akan memberi kesan terhadap ekonomi dan imej negara, lebih-lebih lagi dari kaca mata pelabur asing.
Biarpun, dakwaan mafia korporat ini dari satu pihak dan belum ada siasatan daripada Suruhanjaya Siasatan Bebas dan sebarang penghakiman mahkamah atau pengesahan rasmi namun persoalan yang lebih penting ialah mengapa begitu banyak perkara berlaku serentak.
Hujah beliau lagi, siapa yang akhirnya mengawal syarikat dan siapa yang paling untung selepas semua ini.
“Jika benar wujud gabungan: politikus – penguatkuasa – korporat – penjenayah, maka ia bukan sekadar skandal – ia adalah ancaman sistemik kepada negara. Apabila undang-undang boleh dipengaruhi, kuasa boleh dimanipulasi, dan kekayaan rakyat, syarikat dan negara boleh dirampas dengan ugutan, ancaman kekerasan dan tindakan penguatkuasaan.
“Maka yang runtuh bukan sekadar satu syarikat, tetapi asas kepercayaan terhadap seluruh sistem negara. Di situlah “MAFIA KORPORAT ” bukan lagi sekadar istilah – tetapi satu igauan dan mimpi ngeri yang paling menakutkan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pendakwaan dan rampasan aset GISBH (GISB Holdings Sdn Bhd), Tan Sri Abu Sahid dan Datuk Seri Ismail Sabri juga berdasarkan templat yang hampir sama.
“Semoga ada Suruhanjaya Siasatan Bebas untuk menyiasat semua kes ini semula di masa hadapan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















