KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) Kuala Lumpur mengesahkan nahas tiga kenderaan dan seorang pejalan kaki di Jalan Bangsa yang tular semalam.
Ketua JPST Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 2.45 petang semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang pejalan kaki wanita berbangsa India berumur 20 tahun melintas jalan di lokasi yang bukan merupakan lintasan pejalan kaki.
Ketika kejadian, pejalan kaki tersebut dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit yang mungkin menjejaskan tahap kepekaan terhadap keadaan lalu lintas di sekitarnya.
Tindakan tersebut menyebabkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun gagal mengelak lalu melanggar pejalan kaki berkenaan.
Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal hilang kawalan sebelum melanggar dua buah kenderaan lain, iaitu sebuah MPV jenis Toyota Vellfire yang dipandu oleh lelaki tempatan berbangsa Cina berumur 45 tahun, serta sebuah lori jenis Hino yang dipandu oleh lelaki tempatan berbangsa India berumur 46 tahun, yang ketika itu sedang berhenti di lampu isyarat merah.
Kemalangan tersebut menyebabkan penunggang motosikal dan pejalan kaki mengalami kecederaan ringan.
Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar. Pemandu kedua-dua kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang melintas di tempat yang tidak dibenarkan.
Pihak JSPT Kuala Lumpur turut mengesan satu rakaman video kejadian yang tular di media sosial melalui akaun Facebook “Dashcam Owners Malaysia” dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk usaha mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Kaedah 45 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette

















akibat normalisasi the power of hand diamalkan di Malaysia