Dr Mohd Aleef Yusof

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof menempelak Khairy Jamaluddin dengan menyifatkan bekas Ahli Parlimen itu gagal memainkan peranan dalam memperjuangkan isu rakyat ketika berada di luar kerajaan.

Menurutnya, Khairy yang sebelum ini tewas dalam pilihan raya sepatutnya tampil lebih lantang menegur kegagalan kerajaan, termasuk isu kenaikan kos sara hidup dan harga diesel, bukannya dilihat cuba kembali ke dalam parti.

“Di mana beliau ketika rakyat berdepan tekanan kenaikan harga diesel? Apakah usaha yang telah dilakukan untuk membela nasib rakyat?

“Sebaliknya, apa yang dilihat hanyalah kecenderungan untuk ‘play safe’ dan cuba kembali kepada kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Aleef berkata, tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO itu untuk kembali menyertai UMNO juga menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar Khairy dalam landskap politik semasa.

“Jika benar beliau merasakan kerajaan hari ini gagal, sepatutnya beliau berada di barisan hadapan menentang dan membawa suara rakyat, bukan memilih jalan selamat dengan menyertai semula parti yang berada dalam kerajaan.

“Sikap berhati-hati Khairy dalam mengkritik kepimpinan negara, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperlihatkan kekurangan ketegasan sebagai seorang pemimpin,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, seorang pemimpin sepatutnya perlu berani menyatakan pendirian secara terbuka, bukannya hanya memilih isu tertentu dan berdiam diri dalam perkara yang lebih besar.

“Saya nasihatkan KJ lebih baik diam dan cermin diri kerana anda jauh lebih gagal! Anda juga pengecut dalam memperjuangkan rakyat.

“Malah anda gagal dari seorang pemimpin bertaraf menteri dan on track menjadi perdana menteri kepada hanya deejay radio yang hilang arah,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast