Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (WFH) secara berperingkat.

Menurutnya, penjawat awam akan dibenarkan bekerja dari rumah secara terpilih mengikut keperluan.

“Penjawat-penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah,” katanya dalam perutusan khas petang ini.

Beliau turut menggesa sektor swasta melaksanakan pendekatan sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan sebelum ini.

“Saya percaya sektor swasta juga boleh melaksanakan seperti yang telah dilakukan oleh beberapa syarikat dan bank,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan, kerajaan akan terus menjaga disiplin dalam perbelanjaan negara serta mengelak keborosan dan ketirisan.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini masih berada dalam kedudukan yang baik walaupun dunia berdepan ketidaktentuan dan kemurungan ekonomi.

“Kita lihat Malaysia ini masih mendapat tarikan dan menjadi pusat pelaburan yang sangat aktif walaupun dunia berdepan kemelut,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap negara kekal aman dan rakyat terus bekerja keras bagi memperkukuh ekonomi dalam menghadapi cabaran global.

“Masih ada kesempatan untuk kita memperbaiki dan meningkatkan keupayaan ekonomi kita,” ujarnya mengakhiri perutusan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast