ALOR GAJAH – Remaja berusia 19 tahun dipercayai ibu kepada bayi yang rangkanya ditemukan ditanam di depan rumahnya di Kelemak di sini bersama teman lelakinya serta tiga lagi ahli keluarganya direman empat hari bagi membantu siasatan kes tragis itu.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Ahad dikeluarkan Hakim Kamarul Aris Kamalludin di Mahkamah Sesyen Alor Gajah
bagi membantu siasatan berhubung penemuan rangka bayi berkenaan yang dipercayai ditanam kira-kira empat bulan lalu.
Tiga ahli keluarga remaja berkenaan ialah, ibu, kakak serta adik lelakinya berusia antara 16 dan 40 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Terdahulu, MalaysiaGazette semalam melaporkan penemuan rangka bayi dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu yang ditanam di laman sebuah rumah tidak berpenghuni di hadapan rumah ibunya di Kelemak.
Kisah tragis itu sekali gus menggemparkan penduduk setempat ketika mereka masih dalam suasana meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Difahamkan, sebelum kes terbongkar, berlaku perselisihan faham antara ibu bayi berkenaan dengan kakaknya.
Mereka tinggal bersama ahli keluarganya yang lain di rumah berkenaan kecuali bapanya yang duduk berasingan. – MalaysiaGazette
Rangka bayi depan rumah: Remaja, teman lelaki, ibu, kakak dan adik direman
















