KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tinggi PKR, Dr Abu Hafiz Saleh Hudin menggesa ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long segera menamakan individu yang didakwa menerima bayaran RM9.5 juta, tanpa menunggu tarikh akhir hujung bulan ini.
Beliau berkata, dakwaan bahawa wang tersebut dibayar kepada seorang ahli Parlimen kerajaan sebagai ‘jalan penyelesaian adalah serius dan tidak boleh dibiarkan berlarutan dalam bentuk spekulasi.
“Kalau benar dakwaan itu, Victor Chin perlu namakan individu terbabit sekarang, bukan tunggu hujung Mac. Perkara ini melibatkan integriti institusi dan keyakinan rakyat,” katanya dalam media sosial hari ini.
Menurutnya, Victor juga perlu pulang ke Malaysia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa serta menghadapi sebarang siasatan atau pertuduhan sekiranya tidak bersalah.
Abu Hafiz berkata, isu tersebut tidak boleh dilihat secara terpisah daripada latar belakang kes melibatkan ahli perniagaan berkenaan.
Katanya, Victor sebelum ini dikaitkan dengan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, termasuk pembekuan ratusan akaun, siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), serbuan premis, sitaan aset serta tempoh reman.
“Semua ini menunjukkan kes ini kompleks dan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan, jadi dakwaan yang dibuat perlu ditangani secara menyeluruh,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyentuh spekulasi di media sosial mengenai individu dikenali sebagai ‘Mr R’, namun berkata, perkara itu tidak wajar mengalih perhatian daripada siasatan sebenar.
Mengulas lanjut, Abu Hafiz turut memuji tindakan Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan yang tampil memberi penjelasan kepada media semalam.
“Itu langkah yang telus dan wajar dalam keadaan spekulasi semakin meluas,” Jelasnya.
Beliau menegaskan, sekiranya benar wujud unsur pemerasan atau rasuah melibatkan mana-mana menteri atau Ahli Parlimen, siasatan dan pendakwaan mesti dilaksanakan tanpa sebarang perlindungan politik.
“Malaysia bukan negara undang-undang rimba. Tidak boleh ada sesiapa kebal daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas dan telus demi memastikan kebenaran dapat ditegakkan. -MalaysiaGazette















