Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Blok Pembangkang menggesa kerajaan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat dengan kadar segera bagi membincangkan implikasi peperangan di Iran terhadap Malaysia dan ekonomi global, susulan kebimbangan rakyat terhadap perkembangan semasa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, satu surat rasmi telah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon pertimbangan tersebut mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut beliau, ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang menerima pelbagai persoalan dan reaksi daripada rakyat selepas pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri semalam, sekaligus menuntut penjelasan yang lebih menyeluruh.

“Perkara-perkara yang dibangkitkan perlu dibincangkan secara konstruktif, dua hala dan telus, khususnya dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga merupakan bekas Timbalan Presiden Bersatu turut memuat naik sepucuk surat rasmi dari Pejabat Ketua Pembangkang ditujukan kepada Perdana Menteri.

Tambah beliau, permintaan sidang khas itu mencerminkan komitmen pembangkang untuk bersama-sama memainkan peranan memastikan negara bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Ujarnya lagi, aspek keterjaminan makanan, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat perlu diberi perhatian serius dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast