Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh berdepan cabaran yang semakin meruncing antara Israel dan Iran dalam keadaan politik yang berpecah-belah, sebaliknya memerlukan pendekatan konsensus nasional merentasi parti politik.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa apabila memberi amaran konflik yang berlaku berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia, termasuk peningkatan kos sara hidup, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan global.

Menurutnya, krisis geopolitik itu bukan sekadar isu luar, sebaliknya, turut memberi implikasi besar kepada rakyat negara ini.

“Sebarang gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz boleh memberi kesan ketara sehingga ke peringkat isi rumah.

“Apabila laluan ini terjejas, kesannya akan dirasai sehingga ke dapur rakyat Malaysia. Kos sara hidup meningkat, tekanan kepada subsidi bertambah dan ruang fiskal kerajaan menjadi semakin mencabar.

“Ini bukan masa untuk berpolitik secara sempit. Semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang perlu membina kesepakatan dalam isu ekonomi yang menyentuh kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/03/27/konflik-asia-barat-pm-runding-dengan-semua-kerajaan-negeri-minggu-depan/

https://malaysiagazette.com/2026/03/27/pm-anwar-akan-himpun-pimpinan-negeri-parti-politik-untuk-taklimat-khas-mkn-mten-minggu-depan/

Mujahid berkata, antara langkah penting yang memerlukan sokongan bipartisan termasuk pengurusan inflasi dan kos sara hidup secara menyeluruh, reformasi subsidi secara bersasar, pengukuhan keselamatan makanan dan tenaga serta memastikan keyakinan pelabur terus terpelihara melalui kestabilan politik.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan krisis di Asia Barat sebagai peluang untuk mematangkan landskap politik negara melalui pendekatan Politik Rahmah dan Politik Nilai yang menekankan tanggungjawab bersama.

“Dalam saat dunia berdepan ketidaktentuan, kekuatan kita sebagai sebuah negara bergantung kepada keupayaan untuk bersatu. Konsensus nasional bukan pilihan, tetapi keperluan mendesak,” tambahnya.

Beliau turut menggesa pemimpin politik supaya meredakan ketegangan politik dan memberi fokus kepada agenda besar negara.

“Rakyat tidak mahu melihat perbalahan berterusan ketika mereka berdepan tekanan ekonomi. Mereka mahukan kepimpinan yang matang, bersatu dan bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast