KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang berusaha menubuhkan platform bandar Malaysia–Cambridge bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh serta peningkatan daya saing global mencerminkan ketahanan negara sebagai ekonomi perdagangan yang berdaya saing di Asia walaupun berdepan ketegangan geopolitik yang berterusan.
“Ini merupakan masa yang tepat untuk negara mempertingkat usaha dalam mewujudkan kerjasama strategik dengan institusi terkemuka dunia.” katanya berucap pada forum sulung mengenai Perumahan dan Perancangan Bandar di Downing College, Universiti Cambridge, baru-baru ini.
Beliau yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, asas makroekonomi Malaysia telah mencapai titik perubahan, dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.3 peratus pada suku akhir 2025 dan pelaburan yang diluluskan mencecah rekod bersejarah RM426.7 bilion, tertinggi dalam sejarah negara.
“Malaysia di bawah kepimpinan kerajaan Madani terus membuktikan bahawa walaupun dalam ekonomi global yang tidak menentu akibat ketegangan perdagangan antara kuasa besar, kita kekal sebagai negara berkecuali, berdaya tahan, terbuka kepada perdagangan dan menjadi tunjang yang boleh dipercayai dalam rantaian bekalan nilai global,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa keyakinan pelabur telah meningkat dengan ketara, yang dapat dilihat melalui prestasi kukuh Ringgit di peringkat serantau, Bursa Malaysia yang melepasi paras 1,770 mata pada Februari serta lebihan dagangan sebanyak RM151.8 bilion dengan jumlah dagangan melebihi RM3 trilion.
Kor Ming merupakan menteri pertama kerajaan Madani yang dijemput berucap di Universiti Cambridge yang berprestij.
Dalam ucaptamanya, beliau turut menggariskan lima keutamaan dalam agenda perumahan dan bandar Malaysia selaras dengan Agenda Bandar Baharu dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Kor Ming menegaskan bahawa, pihak berkuasa tempatan yang kukuh adalah penting dalam membina bandar mampan dan Malaysia sedang memperkasa keupayaan institusi melalui pendigitalan, latihan serta tadbir urus yang lebih baik selaras dengan Agenda Bandar Baharu dan SDGs.

Berdasarkan pencapaian domestik ini, beliau menyatakan bahawa penglibatan Malaysia dengan Universiti Cambridge mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kerjasama antarabangsa dengan negara memposisikan diri sebagai rakan proaktif dalam membangunkan bandar yang mampu milik, berdaya tahan dan inklusif.
Kehadiran Kor Ming ke forum tersebut membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama strategik antara UK dan Malaysia, selain bertujuan menarik serta meyakinkan pelajar terbaik dari universiti bertaraf dunia seperti Cambridge untuk pulang ke tanah air selepas tamat pengajian bagi menyumbang kepada pembangunan negara.
Forum berprestij itu dianjurkan bersama oleh REHDA Institute, Universiti Cambridge, Anglia Ruskin University dan Cambridge University Malaysian Students Association (CUMAS). – MalaysiaGazette
















