KUALA LUMPUR – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah berkenan meninjau dari udara keadaan semasa paras air di Sungai Pahang ketika dalam perjalanan dari Bera ke Pekan hari ini.
Musim panas yang melanda negara ketika ini menarik perhatian baginda untuk melihat sendiri paras air sungai bagi memastikan semua pihak dalam keadaan siap-siaga demi kesejahteraan rakyat, menurut kenyataan Facebook Kesultanan Pahang.
Fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang berkata, Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya mengalami pengurangan hujan serta keadaan cuaca lebih panas dan kering, terutama di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.
Berdasarkan unjuran model cuaca tempatan dan antarabangsa, negara dijangka mengalami pola cuaca lebih kering dengan taburan hujan lebih rendah daripada kebiasaan bagi tempoh beberapa bulan akan datang. – MalaysiaGazette















