KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli terus diasak apabila didakwa wajar mengundur diri daripada politik selepas pelbagai pihak melabelkan beliau sebagai menteri gagal selain disifatkan liabiliti kepada parti sendiri.
Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu kini semakin sinonim dengan gelaran “raja formula yang gagal”, sekali gus menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, ramai merasakan janji-janji besar Rafizi sebelum PRU15 tidak diterjemahkan kepada hasil ketika memegang portfolio Menteri Ekonomi.
Beliau turut mendakwa Program Data Utama (PADU) menjadi antara simbol kegagalan pentadbiran Rafizi, dengan kos perbelanjaan kerajaan mencecah RM85.27 juta.
“Eloklah Rafizi kembali ke dunia korporat berbanding membuat kerja-kerja politik yang menyerlahkan lagi kegagalan beliau sebagai ahli politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faizan menambah, kritikan Rafizi terhadap National Feedlot Corporation (NFC) sebelum ini juga didakwa memberi kesan kepada ketiadaan ladang ternakan lembu berskala besar di negara ini sehingga Malaysia masih bergantung kepada import.
Sebelum ini, Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Profesor Dr Tajuddin Rasdi turut mendakwa Rafizi sebagai liabiliti kepada PH dan politik negara, manakala Angkatan Muda Keadilan (AMK) pernah melabelkannya sebagai hipokrit.
Dalam perkembangan sama, pengasas PKR, Ng Lum Yong, menyifatkan Rafizi sebagai menteri paling gagal sepanjang memegang portfolio Menteri Ekonomi dari Disember 2022 hingga Jun 2025.
Beliau mendakwa Rafizi tidak berjaya menunaikan janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain tidak melaksanakan reformasi ekonomi yang diharapkan. – MalaysiaGazette
















