Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) tampil menawarkan khidmat perundangan secara percuma (pro bono) kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang menjadi mangsa nahas pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.

Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tawaran itu merangkumi nasihat guaman, pemantauan prosiding kes serta representasi di mahkamah bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa sebarang kompromi.

“Perbuatan memandu dalam keadaan mabuk adalah satu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan.

“Sebarang bentuk kelonggaran atau layanan lunak terhadap pelaku hanya akan menghantar mesej yang salah kepada masyarakat dan membuka ruang kepada lebih banyak tragedi seumpamanya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, tawaran pro bono juga bertujuan membantu keluarga mangsa mendapatkan pampasan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang akibat kecuaian melampau pelaku.

“Kejadian menyayat hati ini bukan sekadar satu kemalangan, tetapi satu bentuk kecuaian melampau yang telah meragut nyawa insan tidak berdosa.

“Ia juga bagi mendapatkan pampasan yang dibenarkan oleh undang-undang akibat kecuaian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Zainul Rijal turut mendesak agar kawalan terhadap pengambilan minuman memabukkan diperketat termasuk meletakkan tanggungjawab ke atas pemilik premis.

“Premis yang menawarkan minuman yang memabukkan ini juga perlu bertanggung jawab secara kendiri menegah pelanggan mereka memandu dalam keadaan mabuk.

“Pembela mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang paling tegas di bawah undang-undang termasuk memastikan pendakwaan dijalankan secara segera dan menyeluruh serta hukuman yang setimpal dikenakan.

“Kegagalan berbuat demikian adalah satu pengkhianatan terhadap keadilan dan keselamatan awam,” katanya.

Selain itu, Zainul Rijal menambah, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan konsep diyat bagi meringankan kesusahan keluarga mangsa yang teribat dalam nahas membabitkan pemandu mabuk.

“Nyawa yang telah hilang sudah pasti tidak akan kembali. Namun, keadilan tidak boleh dikompromi.

“Pada masa ini keluarga mangsa perlu dibantu agar kesusahan yang dihadapi dapat diringankan.

“Pembela boleh dihubungi melalui No 019-3217845 (Amirul Arib) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Diyat atau pampasan nyawa dalam sistem perundangan negara dilihat penting bagi memastikan kebajikan waris mangsa terbela dalam jangka masa panjang selepas kehilangan ahli keluarga tersayang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast