PUTRAJAYA – Seramai 7,099 calon tidak hadir menduduki semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, mewakili 1.79 peratus daripada keseluruhan 395,740 calon berdaftar, sekali gus mencatatkan penurunan berbanding 8,108 calon tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, penurunan jumlah ketidakhadiran itu menunjukkan perkembangan positif dalam penyertaan calon bagi peperiksaan berkenaan.
Menurutnya, ketidakhadiran calon itu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk bekerja, berpindah ke luar negara, terbabit dalam kemalangan serta masalah keluarga.
“Selain itu, terdapat juga calon yang berdepan masalah kesihatan, kekangan pengangkutan, meninggal dunia serta ada yang ditahan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM), di sini hari ini.
Semantara itu, beliau berkata, seramai 366,435 atau 94.29 peratus calon SPM 2025 layak diberikan sijil, berbanding 355,933 atau 94.01 peratus pada 2024.
Beliau menjelaskan, angka terbabit menunjukkan peningkatan seramai 10,502 orang atau bersamaan 0.28 peratus.
“Bagi calon sekolah KPM (Kementerian Pendidikan), seramai 329,272 orang atau 94.51 peratus layak dianugerahkan sijil SPM tahun 2025.
“Jumlah itu meningkat berbanding 319,016 atau 94.20 peratus calon SPM 2024,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















