MELAKA – Hanya dalam tempoh satu jam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berjaya mengumpulkan sebanyak RM85,000 bagi membina semula rumah penduduk di kawasannya yang musnah terbakar, Sabtu lalu.
Menurut Mohd Noor Helmy, kediaman itu dilaporkan hangus sepenuhnya dan memerlukan kos pembinaan semula sekitar RM80,000, dengan kerja-kerja akan dilaksanakan oleh tukang kampung bagi menjimatkan kos.
Pendekatan itu jelasnya, dilakukan bagi mengelak beban ditanggung satu agensi sahaja, sebaliknya menggerakkan pelbagai pihak tampil membantu secara bersama.
“Kalau harap satu agensi tanggung memang tak lepas. Jadi kongsi seorang sikit menjadikan jumlah terkumpul RM85,000. Semua ini selesai dalam satu jam, Alhamdulillah.
“Jumlah itu termasuk lebihan RM5,000 sebagai persediaan sekiranya berlaku pertambahan kos pembinaan susulan kenaikan harga bahan binaan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Menurutnya, sumbangan itu dikumpulkan daripada pelbagai agensi dan pihak berkaitan termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (RM20,000), Majlis Agama Islam Melaka (RM20,000), Lembaga Perumahan Melaka (RM20,000) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM Melaka (RM10,000).
Turut menyumbang, TNB CareLine Melaka (RM5,000), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (RM5,000), Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (RM4,000) serta Pengurus Bank Rakyat Melaka (RM1,000).
Selain itu, menurut Mohd Noor Helmy, bantuan tambahan turut diterima menerusi Persatuan Automotif Melaka sebanyak RM5,000, manakala Sekolah Kebangsaan Duyong menyumbang buku teks dan pakaian sekolah untuk anak-anak mangsa.
“Kesemua agensi yang hadir membawa mandat masing-masing termasuk agensi persekutuan yang hadir dengan mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Manakala agensi negeri pula membawa mandat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Dalam nada berseloroh, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu, turut menjawab persoalan orang ramai mengenai apakah sumbangannya dalam kes itu.
“WaiBee (YB) Helmy sumbang buah fikiran dari otak bergeliga,” selorohnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam pada 28 Mac lalu, sebuah rumah penduduk di Jalan Duyong Tengah 6, Kampung Duyong di sini terbakar 80 peratus namun, tidak melibatkan kemalangan jiwa terhadap mangsa. – MalaysiaGazette
















