KUALA LUMPUR – Pemanduan di bawah pengaruh alkohol perlu diklasifikasikan sebagai jenayah serius susulan tragedi terbaharu yang meragut nyawa seorang mangsa di Klang.
Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar berkata, insiden itu sekali lagi membuktikan kegagalan tindakan tegas dalam mengekang kes pemandu mabuk di negara ini.
Menurutnya, peningkatan kes seumpama itu menunjukkan kelemahan penguatkuasaan serta hukuman sedia ada yang masih tidak cukup untuk memberi kesan pencegahan.
“Ini bukan lagi sekadar kesalahan trafik. Ini perbuatan yang meragut nyawa. Sudah tiba masanya kita berhenti berkompromi.
“Ingatlah, setiap individu yang memandu dalam keadaan mabuk perlu dikenakan hukuman maksimum tanpa sebarang kelonggaran,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Sivakumar mendesak kerajaan memperketat pelaksanaan undang-undang termasuk menggantung lesen serta-merta dan larangan memandu jangka panjang.
Katanya, hukuman penjara mandatori tanpa jamin juga wajar dikenakan bagi kes melibatkan kecederaan serius atau kematian.
“Selagi hukuman dilihat ringan, selagi itu kes akan berulang. Kita perlu hantar mesej jelas bahawa tiada tempat untuk pemandu mabuk di jalan raya,” tegasnya
Beliau turut menggesa undang-undang sedia ada dikaji semula agar lebih keras dan benar-benar berfungsi sebagai pencegah.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil risiko memandu selepas mengambil alkohol.
“Jika anda minum, jangan memandu. Gunakan e-hailing atau pemandu gantian. Berapa lagi nyawa perlu terkorban?” soalnya.
Persatuan itu turut menegaskan akan terus mendesak agar keselamatan jalan raya diberi keutamaan dan keadilan ditegakkan bagi setiap mangsa. – MalaysiaGazette
Lelaki maut tercampak atas kereta selepas dirempuh pemandu mabuk
Pemandu mabuk, terlibat dadah bakal berdepan hukuman berat – Anthony














