Sivamalar Genapathy

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa segera meminda undang-undang di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperketat tindakan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy berkata, pindaan itu perlu dibentangkan sebagai keutamaan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang memandangkan isu tersebut melibatkan keselamatan nyawa pengguna jalan raya.

Menurutnya, peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44, 45A dan 45B perlu dinilai semula secara menyeluruh kerana hukuman sedia ada masih belum memberi kesan pencegahan mencukupi.

“Kes melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah terus berulang dan ini membuktikan pendekatan sedia ada tidak mencukupi untuk melindungi pengguna jalan raya.

“Realitinya, setiap kali tragedi berlaku, mangsa terkorban bukan pihak yang bersalah, tetapi orang awam yang langsung tidak mempunyai pilihan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kesalahan tersebut tidak lagi boleh dilihat sebagai kemalangan semata-mata, sebaliknya perlu ditangani sebagai kecuaian melampau yang berisiko meragut nyawa.

Sehubungan itu, katanya, pindaan perlu merangkumi hukuman penjara mandatori yang lebih tegas, peningkatan kadar denda serta pembatalan lesen memandu secara serta-merta bagi kesalahan serius.

“Pendekatan lebih keras perlu dilaksanakan kerana tiada kompromi terhadap individu yang secara sedar membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Sivamalar turut menyifatkan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa sebagai tidak menyentuh punca sebenar permasalahan.

Katanya, mekanisme tuntutan ganti rugi sudah sedia wujud melalui saluran sivil dan insurans, justeru penambahan kewajipan tersebut tanpa pengukuhan aspek penguatkuasaan hanya akan menjadikan undang-undang bersifat kosmetik.

“Mangsa tidak memerlukan simpati selepas tragedi berlaku, sebaliknya mereka memerlukan perlindungan sebelum tragedi itu terjadi,” katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Pengangkutan mengemukakan mekanisme lebih jelas di Parlimen termasuk penguatkuasaan bersepadu, ujian alkohol dan dadah secara rawak pada skala lebih besar serta pemantauan pesalah berulang.

Menurutnya, penggunaan teknologi seperti peranti pengesan alkohol (alcohol interlock) terhadap pesalah berulang juga perlu dipertimbangkan sebelum mereka dibenarkan kembali memandu.

“Jika kita terus berlengah, kita sebenarnya sedang membenarkan tragedi yang sama berulang, dan itu sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast