JOHOR BAHRU – Johor mencatat mata Gred Purata Negeri (GPN) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 terbaik sepanjang lima tahun ini iaitu 4.28 mata.
Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Ali@Zainalabidin Syed Mohamed berkata, pada masa sama GPN SPM negeri juga menunjukkan trend lebih baik pada setiap tahun sejak 2021.
“Nilai gred purata lebih kecil menunjukkan pencapaian prestasi lebih baik. Pada 2021, GPN yang dicatat adalah 4.75 mata, meningkat kepada 4.59 mata pada 2022 manakala 4.48 mata dicatat pada 2023 diikuti 4.36 mata pada 2024.
“Ini juga menunjukkan GPN pada tahun ini meningkat sebanyak 0.08 mata berbanding tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pengumuman Keputusan SPM 2025 Negeri Johor di Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai 36 orang pada SPM 2025 berbanding dengan 41 orang pada SPM 2024.
Katanya, bilangan calon yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- pula adalah seramai 1,573 orang (3.73 peratus) pada SPM Tahun 2025 berbanding dengan 1,472 orang (3.45 peratus) pada SPM 2024.
Angka berkenaan menunjukkan peningkatan seramai 101 orang (0.28 peratus).
“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 7,128 orang (16.88 peratus) pada SPM Tahun 2025 berbanding dengan 6,740 orang (15.82 peratus) pada SPM 2024 dan angka ini menunjukkan peningkatan.
“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran adalah seramai 15,877 orang (37.59 peratus) pada SPM Tahun 2025 berbanding dengan 16,252 orang (38.14 peratus) pada SPM 2024 serta Angka ini menunjukkan penurunan,” katanya.
Secara keseluruhan, katanya, prestasi mata pelajaran pada SPM 2025 menunjukkan peningkatan bagi 45 daripada 80 mata pelajaran manakala, 31 mata pelajaran menunjukkan penurunan manakala empat mata pelajaran tidak berubah berbanding dengan SPM 2024.
Menurutnya, bagi tujuh mata pelajaran teras, tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi dan satu mata pelajaran mengekalkan prestasi seperti SPM 2024.
Ujarnya, mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.67 mata, iaitu 3.06 mata pada SPM 2025 berbanding dengan 3.73 mata pada SPM 2024.
“Calon yang layak dianugerahkan sijil SPM 2025 adalah seramai 40,121 orang (95.00 peratus) berbanding dengan 40,266 orang (94.50 peratus) pada SPM 2024.
“Bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) pula seramai 125 orang daripada 154 calon (81.17 peratus) layak dianugerahkan sijil SPM Tahun 2025 berbanding dengan 144 orang (85.71 peratus) pada SPM 2024,” katanya.
Lebih membanggakan terdapat tujuh CBPK memperoleh keputusan semua A bagi mata pelajaran yang mereka daftar, katanya. – MalaysiaGazette
















