Ahmad ‘Aqeel berkongsi keputusan SPM kepada ibu bapanya di SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Pernah dianggap luar biasa apabila melangkau ke alam persekolahan seawal usia enam tahun, seorang pelajar kini membuktikan keupayaannya apabila meraih keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Ahmad ‘Aqeel Ibrahim, 17, yang mengikuti aliran Akaun dan Matematik Tambahan, memperoleh A dalam kesemua lapan subjek termasuk beberapa A+ bagi Matematik Tambahan, Prinsip Perakaunan, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Kejayaan tersebut lebih bermakna apabila anak bongsu daripada dua beradik itu sebelum ini berdepan keputusan percubaan yang kurang memberangsangkan termasuk memperoleh sekitar 3A selain gred rendah seperti C bagi Matematik Tambahan dan D bagi Sejarah.

Ahmad ‘Aqeel.

“Semasa menduduki ujian kohort, saya belajar sendiri dengan ibu bapa yang merupakan guru tuisyen. Alhamdulillah, saya bersyukur. Paling penting bagi saya ialah hubungan baik dengan guru serta doa ibu bapa,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul di sini hari ini.

Menurutnya, dia tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan rakan yang berbeza umur walaupun memasuki alam persekolahan lebih awal.

“Saya selalu pergi kelas tambahan di sekolah dan cuba buat yang terbaik dalam setiap tugasan yang cikgu beri. Saya juga peruntukkan masa sekurang-kurangnya dua jam pada hujung minggu untuk ulang kaji,” katanya.

Adam Miqaell mendapatkan keputusan SPM dengan ditemani ibu serta dua adiknya yang turut belajar di SMK Bukit Jambul.

Sementara itu, bagi Adam Miqaell Kamarul Zaman, kejayaan meraih semua A dalam SPM 2025 adalah hasil perubahan drastik sikap belajar dua bulan terakhir peperiksaan.

Katanya, dia hanya mampu memperoleh 3A dalam ujian akhir, yang menjadi titik tolak untuk fokus sepenuhnya pada pelajaran.

“Sebagai anak sulung dan cucu sulung, saya belajar secara disiplin dengan bimbingan mentor dan guru sejarah. Saya juga menolak kelas tuisyen kerana mahu belajar secara kendiri dan menumpukan pada kerja kursus sekolah dan emak pun memberi kepercayaan penuh dengan syarat kena dapat hasil yang cemerlang sekali gus membolehkan saya mengurus masa tanpa tekanan tambahan.

“Selain fokus akademik, saya juga bangun awal, solat tahajud dan berbuat baik dengan orang lain kerana saya percaya doa mereka akan beri kekuatan buat diri,” katanya.

Tambahnya, kejayaan iu turut membuka peluang  untuk melanjutkan pelajaran di matrikulasi sekali gus mengejar cita-citanya menjadi akauntan.

Seorang lagi pelajar cemerlang di sekolah sama, M. Sanjay, 18, turut mencuri tumpuan apabila meraih keputusan 10A+ dalam peperiksaan tersebut.

Sanjay.

Sanjay berkata, kejayaan itu hasil disiplin tinggi dan latihan berterusan termasuk menghadiri kelas tuisyen bagi enam subjek seperti Sains, Akaun dan Matematik Tambahan.

“Saya buat latihan secara berterusan dan memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas meskipun mengikuti tuisyen selepas sesi persekolahan,” katanya sambil menambah bapanya merupakan kerani di Universiti Sains Malaysia manakala ibunya suri rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast