MELAKA – Tindakan seorang ibu tunggal mendiami rumah bersama anak lelaki yang bersekedudukan dengan kekasihnya membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Dalam serbuan kira-kira jam 2.05 pagi Khamis lalu, JAIM menahan wanita berusia 45 tahun itu bersama dua anaknya masing-masing lelaki dan perempuan berusia 22 tahun dan 24 tahun serta seorang wanita bukan mahram berusia 20 tahun.
Menurut sumber, wanita itu yang juga pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dipercayai kekasih anak lelaki ibu tunggal berkenaan.
“Serbuan di rumah flat di Peringgit dilakukan hasil maklumat awam yang mendakwa pelajar wanita berusia 20 tahun itu tinggal bersama tiga beranak tersebut.
“Ketika pemeriksaan, pelajar itu memberi alasan hanya menumpang sementara sepanjang cuti semester kerana mempunyai masalah dengan keluarganya di Alor Gajah,” katanya di sini hari ini.
Kes yang bertujuan mendidik dan memberi pengajaran kepada msyarakat itu dikongsi JAIM melalui akaun rasmi TikTok pasukan itu.
Sumber berkata susulan itu, ibu dan kakak lelaki terbabit juga ditahan apabila dipercayai bersubahat dan membenarkan keadaan itu yang membuka ruang kepada perbuatan maksiat.
Keempat-empat mereka dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa di negeri ini.
“Kes mengikut Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang menimbulkan syak dan Seksyen 34 enakmen sama kerana bersubahat,” tambahnya.
Sementara itu, JAIM turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan isu khalwat dan sentiasa menjaga batas pergaulan. – MalaysiaGazette
















