Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2025 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Musyawarah Nasional seperti yang diumumkan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 adalah sebuah wadah penting untuk menghimpunkan pemikiran dan pandangan serta cadangan strategik daripada pelbagai lapisan masyarakat Melayu mengenai hala tuju masa depan umat Melayu dan negara.

Pengasasnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Musyawarah Nasional bukan sekadar satu wacana biasa, sebaliknya merupakan usaha bersama untuk mencari titik temu, merumus penyelesaian serta membina konsensus nasional.

Ia jelas beliau, bagi menghadapi pelbagai cabaran semasa yang menyentuh kepentingan agama, masyarakat, ekonomi, pendidikan dan politik orang Melayu.

“Musyawarah Nasional ini dipengerusikan Tan Sri Abdul Ghani Othman yang mempunyai pengalaman luas dalam aspek pentadbiran kerajaan dan dunia korporat khususnya semasa menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan; Menteri Besar Johor dan Pengerusi Sime Darby Berhad serta Johor Corporation,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, bagi memastikan perbincangan berlangsung secara tersusun dan menyeluruh, Musyawarah Nasional akan memfokuskan kepada lima teras utama.

Tambahnya, Teras Agama akan dipengerusikan oleh Datuk Prof. Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, yang akan menumpukan kepada usaha memperkukuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta memperkasa kefahaman dan pengamalan Islam yang sederhana dan progresif dalam masyarakat.

Selain itu, ujarnya, Teras Politik akan dipengerusikan oleh Prof. Dr. Zainal Abidin Sanusi, yang akan menilai dinamika politik semasa serta merumus pendekatan baharu bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan kepimpinan dan kematangan demokrasi negara.

Bagi Teras Ekonomi pula, katanya, akan dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail, yang akan membincangkan strategi memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu agar lebih berdaya saing, inklusif dan mampan dalam ekonomi negara.

Teras Pendidikan pula, menurut beliau, akan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Noor Inayah binti Ya’akub, yang akan meneliti agenda pemerkasaan pendidikan sebagai asas pembinaan modal insan berkualiti serta peningkatan keupayaan generasi masa depan.

Terakhir iaitu Teras Sosial, tambahnya, akan dipengerusikan oleh Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran, yang akan memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan sosial, perpaduan masyarakat, pembinaan nilai dan budaya, serta pengukuhan institusi keluarga serta komuniti.

“Saya yakin dengan penglibatan tokoh-tokoh berwibawa sebagai pengerusi teras serta penyertaan pelbagai pihak termasuk akademia, pemimpin masyarakat, profesional, golongan muda dan badan-badan bukan kerajaan, Musyawarah Nasional ini mampu menghasilkan rumusan yang konstruktif, realistik dan berpandangan jauh demi masa depan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru semua pihak agar menyertai dan menyumbang pandangan secara terbuka, matang dan bertanggungjawab supaya Musyawarah Nasional dapat menjadi satu platform penting dalam memperkukuh kesatuan, memperkasa agenda bangsa dan membina masa depan Malaysia yang lebih sejahtera. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast