BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini, menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap seorang lelaki warga Nepal yang berdepan pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di pekarangan sebuah kilang pada Mac lalu.
Penangguhan itu dibuat untuk lantikan jurubahasa bagi memastikan pendakwaan ke atas tertuduh, Dangi Chopilal, 24, dapat dibacakan dengan jelas kepadanya.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit kemudian menetapkan 21 April ini sebagai tarikh lantikan jurubahasa bagi membolehkan prosiding pertuduhan diteruskan.
Selain tertuduh juga tidak ditawarkan jaminan pada prosiding tersebut.
Tertuduh sepatutnya berdepan pendakwaan membunuh rakan senegaranya berusia 22 tahun di pekarangan sebuah kilang di Permatang Tinggi di sini, pada 22 Mac lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 23 Mac lalu melaporkan seorang pekerja kilang pemprosesan itik warga Nepal direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan membunuh rakan senegaranya di Permatang Tinggi di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan akibat ditikam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dan suspek yang juga pekerja di kilang sama dipercayai terlibat dalam pertengkaran mulut di bilik asrama.
Mangsa kemudiannya keluar makan dan selepas selesai, dipercayai keluar untuk membuang air kecil sebelum diserang secara tiba-tiba oleh suspek.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian rusuk akibat ditikam.
Susulan itu, pihak polis berjaya menahan suspek di kawasan asrama pekerja berkenaan selain merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette
















