BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja kilang pemprosesan itik warga Nepal direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan membunuh rakan senegaranya dalam kejadian di asrama pekerja mereka di Permatang Tinggi di sini, hari ini.
Permohonan reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Savinder Singh Jugindar Singh bermula hari ini sehingga 29 Mac depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan akibat ditikam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dan suspek yang juga pekerja di kilang sama dipercayai terlibat dalam pertengkaran mulut di bilik asrama.
Mangsa kemudiannya keluar makan dan selepas selesai, dipercayai keluar untuk membuang air kecil sebelum diserang secara tiba-tiba oleh suspek.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian rusuk akibat ditikam.
Susulan itu, pihak polis berjaya menahan suspek di kawasan asrama pekerja berkenaan selain merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette
















