JOHOR BAHRU – Perkembangan pesat industri pusat data di Johor yang kini muncul sebagai hab utama pelaburan serantau bakal berdepan cabaran besar dalam masa beberapa tahun akan datang.
Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, cabaran bakal dihadapi bukan disebabkan kekurangan penjanaan tenaga elektrik, sebaliknya kerana kelewatan sambungan grid kuasa, kekangan pembinaan pencawang, penjadualan sambungan yang tidak efisien serta proses kelulusan yang berlarutan.
Jelas beliau, ketika ini kapasiti pusat data sudah meningkat secara mendadak daripada hanya sekitar 10 MW pada 2021 kepada 1.3 GW pada 2024, dan dijangka mencecah antara 3 hingga 4 GW menjelang 2028.
Malah, pada 2024 katanya, sehingga 30 peratus permohonan baharu pusat data ditolak akibat kesesakan infrastruktur grid dan birokrasi, menjadikan keupayaan grid sebagai faktor penentu utama kelulusan projek.
“Dalam masa sama, pelaksanaan sistem Automatic Fuel Adjustment (AFA) yang menggantikan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) menambahkan lagi tekanan kepada rakyat.
“Di bawah kerangka Incentive-Based Regulation (IBR), AFA berkuat kuasa dari 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 dengan penyesuaian tarif elektrik secara bulanan berdasarkan harga bahan api global seperti gas dan arang batu serta kadar tukaran asing.
“Ini bermakna sebarang kenaikan harga bahan api akan terus diterjemahkan kepada caj tambahan dalam bil elektrik rakyat setiap bulan, manakala penurunan harga hanya memberikan rebat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berbanding sistem ICPT yang disemak setiap enam bulan, AFA lebih terdedah kepada ketidaktentuan harga global secara serta-merta.
Keadaan itu ujarnya, menjadi lebih membimbangkan apabila dunia kini berdepan ketegangan geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat yang telah menjejaskan bekalan Gas asli cecair (LNG) global.
“Gangguan terhadap laluan strategik dan pengeluaran telah menyebabkan lonjakan harga gas dunia dan di bawah sistem AFA, kesan kenaikan ini akan terus dipindahkan kepada rakyat melalui peningkatan bil elektrik.
“Ini jelas menunjukkan bahawa tanpa dasar yang adil, rakyat berisiko menanggung beban berganda akibat faktor luar kawalan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor menegaskan bahawa kos penambahbaikan dan peluasan grid kuasa bagi menyokong industri pusat data mesti ditanggung oleh pelabur dan pengguna industri berskala besar, bukan rakyat.
Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan perlu melaksanakan struktur tarif yang lebih progresif dan adil dengan melindungi pengguna domestik serta perusahaan kecil dan sederhana, manakala syarikat besar termasuk pengendali pusat data dikenakan kadar yang setimpal dengan penggunaan tenaga mereka.
Prinsip keadilan itu ujarnya, mesti menjadi asas dalam setiap rundingan dengan pelabur agar pembangunan tidak mengorbankan kepentingan rakyat.
Selain itu katanya, projek Southern Johor Renewable Energy Corridor (SJREC) bernilai AS$6 bilion (RM24 bilion) mesti memberi manfaat langsung kepada rakyat Johor, bukan sekadar menjadi projek mega di atas kertas.
Menurut Zainuddin, manfaat tersebut termasuk tarif elektrik yang lebih stabil, peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat tempatan serta akses kepada tenaga bersih dan mesra alam.
“Dalam pelaksanaannya, kontraktor tempatan perlu diberi keutamaan dalam kerja-kerja awal, rantaian bekalan, pemasangan serta penyelenggaraan sistem tenaga di samping memastikan latihan tenaga kerja tempatan dalam bidang teknologi hijau diperkasakan,” katanya.
Jelasnya, isu birokrasi dan kos awal tidak boleh dijadikan alasan untuk meminggirkan penglibatan rakyat tempatan.
Kesimpulannya ujar beliau, pembangunan pusat data sememangnya penting untuk masa depan ekonomi digital Johor, namun tidak boleh dilaksanakan dengan menjadikan rakyat sebagai mangsa kepada kos tersembunyi.
Tambahnya, projek tenaga hijau seperti SJREC pula mesti menjadi pemangkin sebenar kepada kesejahteraan rakyat Johor secara menyeluruh.- MalaysiaGazette
















