MELAKA – Seorang tukang urut warga Rohingya dan ibu tunggal tempatan ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas didapati menyewa rumah bersama di Pulau Melaka, di sini petang semalam.
Menurut sumber, dalam serbuan kira-kira jam 2 petang itu, lelaki Rohingya berusia 30 tahun didapati tinggal bersama ibu tunggal berusia 36 tahun yang beragama Kristian.
“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam sebelum sepasukan penguat kuasa membuat pemeriksaan di premis rumah kedai berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, ibu tunggal terbabit yang sudah kematian suami mengaku berkongsi kediaman dengan tukang urut warga Rohingya itu untuk menjimatkan kos,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan berasal dari Sabah dan beragama Kristian berstatus balu mempunyai seorang anak.
Warga Rohingya itu kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang menimbulkan syak. – MalaysiaGazette
















