MELAKA – Seorang lelaki berstatus suami orang memberi alasan bergaduh dengan isteri ketika ditahan berkhalwat bersama seorang janda ketika diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Krubong, di sini pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.15 pagi itu, pekerja sub kontraktor berusia 34 tahun ditahan bersama wanita berusia 40 tahun yang juga peniaga dalam talian.
Menurut sumber, serbuan di sebuah rumah di Krubong dilakukan hasil maklumat awam sebelum sepasukan penguat kuasa JAIM membuat pemeriksaan di kediaman berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit mengaku berada di rumah wanita berstatus janda dua anak itu dengan alasan menghadapi masalah rumah tangga dan baru bergaduh dengan isterinya.
“Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana perbuatan bersekediaman walaupun ditemani bersama anak melanggar hukum syarak,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pasangan itu kemudian ditahan bersama kedua-dua anak wanita itu, lelaki dan perempuan masing-masing berusia berusia 18 dan 21 tahun bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkhalwat atau berkurung yang mendatangkan syak. – MalaysiaGazette
















